WEF2023: Singapura, Malaysia bakal meterai MoC dalam ekonomi digital, hijau - Tengku Zafrul
Bernama
Januari 21, 2023 15:38 MYT
Januari 21, 2023 15:38 MYT
DAVOS : Malaysia dan Singapura akan menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) dalam ekonomi digital dan hijau, yang pertama untuk Putrajaya berikutan potensi pertumbuhan dalam kedua-dua sektor tersebut, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata perdagangan digital adalah antara perdagangan yang paling pesat berkembang dan akan mengatasi perdagangan fizikal menjelang 2025.
"Malah, kami berharap dapat memuktamadkan MOC pertama kami dalam ekonomi digital dan hijau dengan negara jiran kita, Singapura dan akan disaksikan oleh Perdana Menteri kedua-dua negara tidak lama lagi," katanya kepada Bernama pada akhir Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2023 di sini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan lawatan rasmi pertamanya ke Singapura pada akhir bulan ini.
Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong telah mempelawa Anwar untuk melawat Singapura selepas beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.
Tengku Zafrul berkata perbincangan dengan Singapura mengenai MoC dalam perdagangan digital dan ekonomi hijau telah bermula pada tahun lepas dan telah dibentangkan kepada Kabinet, yang telah memberikan kelulusan untuk dimuktamadkan tidak lama lagi.
"Secara ringkasnya, ini adalah permulaan berikutan kami juga sedang berbincang dengan negara lain," katanya.
Ditanya sama ada Malaysia akan turut mengambil pendekatan pelbagai hala dalam perjanjian perdagangan ekonomi digital dan hijau, menteri itu berkata: "Sudah tentu. Apa sahaja yang perlu dilakukan dengan cepat, kami akan melakukannya. Ia perlu dilaksanakan secara serentak.
"Kita juga merupakan anggota Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), perjanjian perdagangan bebas ASEAN lain dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau. Bagaimanapun, yang pertama ialah dua hala," katanya.
MOC adalah susulan rangka kerja kerjasama yang dimuktamadkan oleh kedua-dua negara pada Ogos 2022.
Rangka Kerja Kerjasama dalam Ekonomi Digital akan memudahkan kerjasama yang diperhebat dalam bidang seperti pemudahan perdagangan; identiti digital; piawaian; penggalakan pelaburan; pemudahan pendigitalan serta pendigitalan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Ini akan membuka peluang yang lebih luas, memberi manfaat kepada perniagaan, pekerja dan rakyat di kedua-dua negara.
Dari aspek ekonomi hijau, kedua-dua negara akan mengukuhkan kerjasama untuk nyahkarbon industri selain membolehkan perniagaan dan pekerja merebut peluang yang wujud.
Di bawah Rangka Kerja Kerjasama dalam Ekonomi Hijau, kedua-dua negara bersetuju untuk bekerjasama, antara lainnya dalam mobiliti generasi akan datang termasuk kenderaan elektrik dan kenderaan tanpa pemandu selain pertukaran dasar alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Menurut artikel WEF, Perjanjian Perkongsian Ekonomi Digital antara Chile, New Zealand dan Singapura ialah perjanjian perdagangan digital sahaja yang pertama terbuka kepada semua anggota Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), dan yang pertama ditandatangani secara elektronik pada Jun 2020.
Ia dirangka untuk melengkapkan rundingan WTO dalam aktiviti e-dagang dan ekonomi digital yang sedang dijalankan dalam forum antarabangsa lain seperti Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik serta Organisasi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi.
Perjanjian ekonomi digital terkini ialah Perjanjian Ekonomi Digital United Kingdom-Singapura, yang berkuat kuasa pada Jun 2022 selepas hanya enam bulan rundingan.
Tanpa mendedahkan butiran lanjut, Tengku Zafrul berkata beliau juga akan menjadi sebahagian daripada delegasi dalam lawatan Perdana Menteri ke Singapura.
"Singapura amat penting kepada Malaysia dan begitu juga sebaliknya. Langkah yang baik untuk meneruskan tahap libat urus ini. Saya tidak mahu mendahului butirannya. Cukup untuk menyatakan, MITI menantikannya, bersama-sama dengan rakan sejawat saya di Singapura, untuk menandatangani MOC," katanya.
Menteri Perdagangan dan Industri Singapura ialah Gan Kim Yong.
Menurut data yang dikeluarkan oleh MITI baru-baru ini, Singapura menyumbang nilai eksport terbesar Malaysia dalam kalangan negara-negara ASEAN sebanyak RM232.57 bilion pada 2022, diikuti Thailand, Indonesia, Vietnam dan Filipina.
Singapura, Thailand dan Indonesia merupakan tiga destinasi eksport utama pada 2022, menyumbang 78.3 peratus daripada jumlah eksport Malaysia ke ASEAN.
Eksport ke hampir semua negara ASEAN mencatatkan rekod tertinggi baharu.
-- BERNAMA