WEF2023: Perlu pendekatan menyeluruh tangani risiko - Tengku Zafrul

Harits Asyraf Hasnan
Januari 20, 2023 17:24 MYT
Tengku Zafrul berkata, kebergantungan terhadap kerajaan sahaja dalam menangani risiko adalah tidak memadai. - Foto WEF
DAVOS: Dunia memerlukan pendekatan secara menyeluruh dalam mendepani risiko sama ada bersifat jangka pendek mahupun jangka panjang.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kebergantungan terhadap kerajaan sahaja dalam menangani risiko adalah tidak memadai.
"Kerajaan sahaja tidak mampu untuk menangani isu berkaitan risiko. Justeru perlu kerjasama antara masyarakat sivil dan syarikat-syarikat.
"Jadi perlu pendekatan secara menyeluruh dalam menguruskan risiko," katanya.
Tengku Zafrul berkata demikian dalam sesi forum bertajuk 'Living with Risk' seiring Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2023 di sini pada Jumaat.
Turut serta dalam forum yang dikendalikan Timbalan Ketua Pengarang Berita Wall Street Journal, Kimberly Johnson adalah Presiden Observer Research Foundation (ORF), Samir Saran; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Splunk, Gary Steele dan Dekan Blavatnik School of Government, University of Oxford, Ngaire Woods.
Mengulas lanjut, beliau berkata setiap negara juga memerlukan hala tuju bersama dalam mendepani pelbagai risiko pada masa akan datang.
"Sudah tentu setiap negara, termasuk yang sedang membangun mempunyai tahap pembangunan yang berbeza.
"Jadi asas kepada semua ini adalah kepercayaan. Kita kena teruskan kerjasama dan libat urus, kita boleh setuju untuk tidak setuju.
"Tapi apa yang penting adalah untuk kita berbincang kerana untuk tempoh masa panjang, kita tidak mampu mencapainya sekiranya kita tidak selesaikan isu jangka pendek pada ketika ini," katanya.
Antara risiko jangka masa pendek yang beliau sifatkan perlu diselesaikan segera adalah jurang digital, pengangguran dan perubahan iklim.
#Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz #World Economic Forum #Living With Risk #WEF2023
;