WEF2023: 'Kita kena kerjasama dengan China, bukan 'larikan diri' - Presiden EU

Harits Asyraf Hasnan
Januari 17, 2023 19:36 MYT
China, katanya, memberi subsidi yang besar kepada industrinya dan menyekat akses kepada pasarannya untuk syarikat EU. - fotoREUTERS
DAVOS: Kesatuan Eropah (EU) perlu bekerjasama dan berdagang dengan China dalam teknologi bersih dan mendorong ke arah persamaan dan bukannya berusaha melepaskan diri daripada ekonomi kedua terbesar dunia itu.
Mesej tegas itu disampaikan Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen pada Selasa seiring Forum Ekonomi Dunia 2023 (WEF2023) yang berlangsung di sini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, China telah menjadikan peningkatan inovasi teknologi bersih dan pembuatan sebagai keutamaan utama dalam rancangan lima tahunnya, mendominasi dalam sektor seperti kenderaan elektrik dan panel solar.
BACA SEMUA BERHUBUNG FORUM EKONOMI DUNIA 2023 (WEF2023) DI SINI
"Namun, persaingan dalam sifar bersih mestilah secara adil, sama rata," katanya, sambil menambah China telah menggalakkan syarikat intensif tenaga untuk berpindah ke republik itu dengan menawarkan kos tenaga dan buruh yang rendah selain peraturan yang longgar.
China, katanya, memberi subsidi yang besar kepada industrinya dan menyekat akses kepada pasarannya untuk syarikat EU.
"Kita masih perlu bekerja dan berdagang dengan China - terutamanya apabila ia melibatkan peralihan ini.
"Jadi kita perlu menumpukan kepada nyah risiko dan bukannya memisahkan diri," tambahnya.
#Kesatuan Eropah #Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula Von Der Leyen #Ursula von der Leyen #Forum Ekonomi Dunia 2023
;