WEF: Strategi negara naikkan jenama Malaysia, ASEAN tercapai - Mustapa

Kamarul Bahrin Haron
Januari 25, 2015 16:38 MYT
Strategi negara untuk menaikkan jenama Malaysia dan ASEAN dalam kalangan pemimpin elit pelbagai sektor disifatkan tercapai dalam WEF ini.
Strategi negara untuk menaikkan jenama Malaysia dan ASEAN dalam kalangan pemimpin elit pelbagai sektor disifatkan tercapai dalam WEF kali ke- 45 ini.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata demikian susulan kehadiran para perwakilan yang begitu memberangsangkan kali ini.
“Kita telah berjaya mengangkat profil ASEAN di Davos. Tak pernah lagi dalam sejarah penubuhan ASEAN kita punya penyertaan cukup ramai dari negara ASEAN.
“Asean memang diketahui, tapi dengan kehadiran ramai pemimpin dan program yang diaturkan bersama WEF tahun ini, tahun Malaysia jadi pengerusi ASEAN, nama ASEAN begitu terserlah sekali.
“Malah dalam era realiti baru global, peranan Malaysia dalam ASEAN semakin penting,” katanya lagi.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar menyifatkan kedudukan Malaysia sebagai pengerusi lebih menyerlahkan lagi agenda ASEAN kali ini.
“Malaysia membantu mengetengahkan ASEAN, kalau dulu kita mungkin nak guna ASEAN sebagai batu loncatan untuk mempromosi Malaysia, sebenarnya ia simbiotik.
“Malaysia dengan profil lebih tinggi sebagai pengerusi boleh mengetengah agenda ASEAN dengan lebih terserlah lagi dan inilah yang telah kita buat dalam persidangan WEF kali ini.”
Semua ini ditunjangi kehadiran Perdana Menteri Malaysia yang misinya memanfaatkan kelebihan strategik Davos bagi negara dan ASEAN.
Datuk Seri Mohd Najib Razak menjelaskan kepada khalayak elit di Davos akan komitmen Malaysia dalam menjayakan visi komuniti ekonomi ASEAN.
“Kami akan kurangkan kebanyakan tarif. Kami akan usahakan pasaran tunggal dan asas produk tunggal. Kami berusaha serasikan peraturan.
“Kami berikhtiar mengekang perkembangan nasionalisme dan neo nasionalisme. Kami mahu menerapkan ekonomi, politik dan budaya dalam ASEAN. Jadi ASEAN akan menjadi kuasa utama yang perlu dipertimbangkan,” kata Najib.
#Abdul Wahid Omar #ASEAN #jenama Malaysia #Mustapa Mohamed #najib #WEF
;