WEF platform suara anak muda kepada dunia
Astro Awani
Januari 18, 2017 23:09 MYT
Januari 18, 2017 23:09 MYT
Menjelang Siri Dialog Nasional dalam menggarap gagasan Transformasi Nasional 2050 (TN50), suara anak muda menjadi input penting buat negara.
Di Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang sedang berlangsung di sini, suara anak muda digembleng dalam tiga inisiatif utama penubuhannya.
Salah satunya ialah menggarap keusahawanan sosial dalam mewujudkan usahawan sosial menerusi perniagaan serta gerak kerja sosial bagi menyelesaikan isu masyarakat.
Menurut Katherine Milligan, Pengarah Yayasan Schwab, usaha ini penting untuk menyediakan pemimpin baru untuk menguruskan sumber serta kerjasama di peringkat dunia.
"Menerusi WEF, pendedahan, akses serta pembinaan keupayaan diberi untuk meningkatkan strategi dan metodologi anak muda bagi melonjak potensi mereka," katanya dalam sidang media di Davos.
Tiga usahawan sosial muda berimpak besar di negara membangun turut terpilih untuk memperkenalkan inisiatif mereka kepada dunia di Davos.
Salah seorang daripadanya ialah Eduardo Bontempo, pengasas Geekie di Brazil yang berjaya meningkatkan kualiti pendidikan awam menggunakan aplikasi kepintaran buatan.
"Kita menggunakan teknologi kecerdasan buatan bagi membolehkan pelan kajian setiap pelajar ditumpukan.
"Di Brazil, 80 peratus pelajar datang dari sekolah dengan pendidikan berkualiti sangat rendah dengan peperiksaan kebangsaan yang mana setiap tahun 10 juta pelajar yang mendudukinya layak untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti.
"Peperiksaan menjadi satu-satunya kriteria yang digunakan untuk mengukur keupayaan pelajar bagi melanjutkan pelajaran.
"Jadi, dengan pendekatan yang kami gunakan, kualiti pendidikan ditingkatkan dan semua 5 juta pelajar perintis menerusi program ini kini bersedia untuk berada di tahap yang sama dengan sekolah swasta di negara kami," kata Eduardo Bontempo.
WEF ialah organisasi bebas antarabangsa bagi kerjasama awam-sawsta, yang ditubuhkan pada 1971, dengan matlamat untuk menambah baik kedudukan ekonomi dunia.