WEF himpunkan 2,700 pemimpin global, tumpu usaha jadikan dunia lebih berdaya tahan
Bernama
Januari 16, 2023 14:43 MYT
Januari 16, 2023 14:43 MYT
DAVOS (Switzerland): Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) ke-53 bermula hari ini dengan menghimpunkan seramai 2,700 pemimpin mewakili 130 negara, termasuk 52 ketua negara di bandar peranginan di Pergunungan Alps di sini.
WEF kali ini mengangkat tema 'Cooperation in a Fragmented World: Addressing Pressing Crises, Tackling Future Challenges' atau 'Kerjasama Dalam Dunia Terpisah: Menangani Krisis Mendesak, Mengendalikan Cabaran Masa Depan,' di tengah-tengah pelbagai krisis yang hanya meningkatkan lagi perpecahan serta pemisahan landskap geopolitik dunia.
WEF yang bermula pada 1971, sememangnya dikenali sebagai persidangan global di Pergunungan Alps Switzerland atau Swiss.
Dalam kenyataan menjelang bermulanya forum empat hari itu, WEF telah menggesa kalangan pemimpin dunia untuk bertindak menangani krisis ekonomi, tenaga dan makanan selain meletakkan asas bagi mewujudkan dunia lebih mampan serta berdaya tahan.
Pada kali ini, delegasi Malaysia diketuai oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.
Beliau dijangka menyertai sesi termasuk berkaitan kos perpecahan ekonomi, rantaian bekalan, pengangkutan selain 'Living with Risk' atau Hidup Bersama Risiko yang menyaksikannya sebagai antara tiga panelis terbabit.
Tengku Zafrul akan turut menyertai sesi dua panel mengenai 'Global Trade: Navigating The Post-Pandemic Supply Chain Challenge' atau Perdagangan Global: Menerajui Cabaran Rantaian Bekalan Pasca-Pandemik, bersama dengan Sultan Ahmed Bin Sulayem yang merupakan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan DP World yang berpangkalan di Dubai.
Sesi tersebut akan menumpukan sama ada kuasa makroekonomi seperti inflasi, ketegangan geopolitik, lonjakan harga komoditi, gangguan rantaian bekalan dan kekangan kapasiti -- akan berterusan pada tahun ini serta bagaimana syarikat-syarikat dapat mewujudkan rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan.
Keutamaan itu turut diakui oleh Pengasas dan Pengerusi Eksekutif WEF, Klaus Schwab yang berkata: "Kita dapat melihat bahawa kuasa politik, ekonomi dan sosial mewujudkan perpecahan yang meningkat di peringkat global serta nasional.
"Dalam usaha menangani punca hakisan kepercayaan ini, kita sebaliknya perlu memperkukuh kerjasama antara kerajaan dan sektor perniagaan serta mewujudkan keadaan untuk pemulihan yang kukuh dan berterusan."
Beliau turut menekankan pada masa sama, satu pengiktirafan perlu diwujudkan bahawa pembangunan ekonomi ini perlu dijadikan lebih bertaya tahan, lebih mampan dengan tiada sesiapa pun akan ketinggalan.
Selain itu, program Mesyuarat Tahunan ke-53 itu turut menumpukan aspek penyelesaian dan kerjasama awam-swasta dalam menangani cabaran paling mendesak di peringkat global.
Acara itu menjadi platform bagi kalangan pemimpin dunia untuk bekerjasama dalam isu saling berkait dan berkepentingan seperti tenaga, iklim dan alam semula jadi; pelaburan, perdagangan dan prasarana; teknologi sempadan dan daya tahan industri; pekerjaan, kemahiran, mobiliti sosial dan kesihatan serta kerjasama geopolitik dalam dunia yang pelbagai.
Pada sesi ini, keutamaan MITI serta delegasi Malaysia adalah untuk mengetengahkan serta memberi penjelasan mengenai hala tuju kerajaan dalam industri khusus selain bertindak memupuk kerjasama lebih erat dalam kalangan komuniti pelaburan antarabangsa.
Delegasi itu akan membentangkan perkembangan terkini di Malaysia serta maklumat mengenai hala tuju kerajaan serta pendapat berhubung isu-isu lestari seperti alam sekitar, tadbir urus sosial dan (korporat) atau ESG yang semakin penting.
Tengku Zafrul sebelum ini telah menyifatkan WEF sebagai antara platform terbaik, termasuk berikutan penganjurannya pada awal tahun.
"Kita misalnya dapat membincangkan agenda ekonomi negara manakala saya dan rakan-rakan dari pelbagai negara berpeluang bertukar pandangan mengenai cabaran yang akan dihadapi pada tahun ini serta persiapan berkaitan," katanya.
Beliau berkata, WEF turut memberi peluang untuk bertemu dengan pemimpin korporat yang turut hadir, terutama syarikat multinasional untuk melabur di Malaysia atau meningkatkan pelaburan sedia ada.
- BERNAMA