WEF: Gelembung perjalanan jadi pemudah cara perniagaan, ekonomi
Harits Asyraf Hasnan
Januari 26, 2021 20:41 MYT
Januari 26, 2021 20:41 MYT
KUALA LUMPUR: Inisiatif gelembung perjalanan dan laluan hijau perniagaan amat penting untuk pulihkan ekonomi menerusi proses rantaian bekalan.
Para pemain industri berpandangan, gelembung perjalanan akan menjadi pemudah cara perniagaan susulan permintaan tinggi pengguna saat COVID-19 masih meruncing.
"Pengguna, pekerja, pelabur dan pengurusan syarikat mahukannya (gelembung perjalanan). Terdapat peluang dalam merangka model perniagaan berasakan inisiatif ini serta penglibatan kerajaan.
"Ia termasuk laluan hijau yang dirangka Kesatuan Eropah (EU) sekali gus memacu rantai bekalan supaya para peniaga mengubah struktur dan mencapai pematuhan," kata Ketua Pegawai Eksekutif Koç Holding AS, Levent Cakiroglu.
Beliau berkata demikian pada sesi dialog secara maya bertajuk 'Designing Connected and Sustainable Value Chains' seiring Davos 2021 anjuran Forum Ekonomi Sedunia (WEF).
Diskusi yang dikendalikan Ketua Pengarang Astro AWANI, Kamarul Bahrin Haron itu menampilkan empat usahawan terkemuka dalam pelbagai industri dari rantau berbeza.
Turut menyambut baik cadangan gelembung perjalanan dan laluan hijau perniagaan itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif Lenzing Group, Stefan Doboczky.
"Saya sangat optimis kerana pengguna mahukannya. Jadi kesannya, para perniagaan perlu berubah termasuk menukar komunikasi dengan pengguna, memastikan mereka tahu berkenaan syarikat dan jenama.
"Akhirnya, ia merupakan perubahan peringkat komersial dan bukan hanya melibatkan urus tadbir kerajaan," ujar beliau.
Melihat kepada peralihan kepimpinan Amerika Syarikat, Orit Gadiesh yang merupakan Pengerusi Bain & Company Inc. pergeseran antara Washington dan Beijing akan reda sekali gus mewujudkan ekosistem perniagaan dunia yang lebih mampan.
"Saya fikir ia (laluan hijau perniagaan) hampir menjadi realiti. Presiden China, Xi Jinping bergantung tinggi kepada China untuk 'menghijaukan' (memulih) dunia.
"Sekiranya kita boleh bekerjasama dengan beliau (melaksanakan laluan hijau perjalanan), ia akan menjadi laluan yang amat hebat," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif, Welspun India Ltd, Dipali Goenka mengharapkan lebih banyak gelembung perjalanan diwujudkan.
"Saya mahu melihat kemampanan melibatkan warga dunia, komuniti dan seluruh aliran rantaian bekalan sehingga kepada pengguna.
"Pastinya ia merupakan peluang yang besar sekiranya laluan hijau pernaigaan ini dapat dilaksanakan," katanya.
Davos 2021 merupakan inisiatif anjuran WEF yang dilaksanakan secara dalam talian akibat COVID-19.
Davos 2021 | Gelembung perjalanan mampu pulih ekonomi dunia
#COVID-19
#Kesatuan Eropah
#Amerika Syarikat
#usahawan
#peniaga
#ekonomi
#Davos 2021
#gelembung perjalanan
#Forum Ekonomi Sedunia
#laluan hijau perjalanan
#perniagaan