WEF: Cabaran komuniti ASEAN hadapi Revolusi Perindustrian 4.0
Hafidah Samat
September 10, 2018 03:53 MYT
September 10, 2018 03:53 MYT
Kebelakangan ini, tempias Revolusi Perindustrian ke-4 (Industri 4.0) amat ketara dirasai oleh sumber manusia dan organisasi.
Menyedari impak dan kesan kepada daya saing organisasi, Forum Ekonomi Dunia mengenai ASEAN 2018 (WEF ASEAN) yang membuka tirai di Hanoi memfokuskan kepada wacana Industri 4.0 ini.
Persidangan tiga hari yang berlangsung di di Pusat Konvensyen Nasional (National Convention Centre) anjuran WEF dan Kerajaan Vietnam membincangkan pembangunan sumber manusia menjadi tumpuan utama organisasi dalam menangani perubahan persekitaran.
Antara persoalan yang dibangkitkan termasuk keselamatan kerjaya individu terjamin? Adakah khidmat mereka masih diperlukan oleh organisasi pada masa hadapan? Mungkingkah kontrak kerja mereka akan disambung? Adakah kemahiran semasa mereka mencukupi untuk mendepani masa hadapan?
Menurut pengasas dan pengerusi, Forum Ekonomi Dunia, Klaus Schwab, potensi Industri 4.0 cukup besar untuk menyediakan peluang pekerjaan dalam ekosistem keusahawanan.
"Saya amat optimistik, peluang pekerjaan baharu akan muncul dengan sokongan dari kerajaan dalam memperkasa infrastruktur teknologi maklumat. Saya menyimpan harapan yang besar dari Kerajaan Vietnam sebagai negara penganjur tahun ini untuk memainkan peranan penting dalam memupuk dan mengembangkan potensi Industri 4.0 untuk berjaya dalam menyediakan peluang pekerjaan," kata Schwab, dalam sidang media di sini hari ini.
Perubahan yang berlaku akibat fenomena Industri 4.0 memerlukan sumber manusia berpengetahuan dan berkemahiran tinggi agar daya saing dapat diperkasakan.
Fenomena Industri 4.0 turut menimbulkan ketidakpastian dalam sesetengah organisasi berhubung peluang pekerjaan dan merubah struktru organisasi.
"Sumber manusia adalah pelapis yang mewarisi sesebuah organisasi. Sumber manusia adalah nadi kepada Industri 4.0. Forum Ekonomi Dunia telah menubuhkan sebuah unit ICT di San Francisco, Amerika Syarikat, untuk memantau aktiviti-aktiviti Industri 4.0 di peringkat global," tambah Schwab.
"Saya yakin sumber manusia akan dinaik taraf ke peringkat yang lebih signifikan. Industri 4.0 ialah pencetus kemanusiaan dalam mengimbangi ekosistem ICT termasuk sifat empati, contohynya," kata Schwab.
Forum tiga hari ini menyaksikan penyertaan dari 1,000 delegasi antarabangsa yang terdiri dari pemangkin ICT dari segenap rantau Asia dan Asia Barat.
Malaysia diwakili oleh Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, Darell Leiking dan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman.
Delegasi Malaysia turut disertai Pengerusi CIMB Group, Datuk Seri Nazir Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes.
Indonesia yang merupakan delegasi terbesar ke Forum Ekonomi Asean edisi ke-27 ini yang diketuai Presidennya, Joko Widodo. Presiden Jokowi dijangka tiba hari ini dalam rangka kerja dua hari bakal memfokuskan kepada pembangunan bilateral dan kerjasama ekonomi dengan negara serantau di persidangan ini.
#ASEAN 2018
#Darell Leiking
#ekonomi
#Forum Ekonomi Dunia
#Industri 4 0
#Jokowi
#Klaus Schwab
#Revolusi Perindustrian 4 0
#Syed Saddiq
#Tony Fernandes
#usahawan
#WEF 2018