WEF #AMNC24: Malaysia semakin diikitiraf, disegani di arena antarabangsa - Rafizi

Nabilah Khaleeda
Jun 26, 2024 11:56 MYT
Rafizi optimis Malaysia berpotensi untuk maju sebagai negara berpendapatan tinggi dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang. - Gambar fail Astro AWANI
DALIAN, CHINA: Masyarakat antarabangsa bertambah yakin ekonomi Malaysia sedang berkembang dengan baik secara seimbang dan potensi negara semakin diiktiraf secara meluas.
Menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, platform seperti Forum Ekonomi Dunia (WEF) menjadi ruang dan peluang untuk Malaysia beranjak dari negara yang dianggap kurang kompetitif menjadi peneraju dalam sektor-sektor tertentu.
WEF #AMNC24: Arus reformasi ekonomi Madani di pentas global
Katanya, fokus Malaysia dalam bidang peralihan tenaga telah diperkukuhkan, meningkatkan profil negara dalam agenda global seperti yang diperbincangkan di WEF sebelum ini.
“Sebagai contoh, kita telah tumpukan kepada peralihan tenaga sejak setahun yang lepas.
“Ini telah menarik perhatian global dan meningkatkan reputasi Malaysia di arena antarabangsa.
“Justeru, untuk mengukuhkan daya saing dan imej negara, Malaysia perlu terus menggalakkan pelaburan dalam teknologi maju seperti AI dan semikonduktor,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual semasa menghadiri Forum Ekonomi Dunia (WEF) musim panas di sini, pada Rabu.
Menurut Rafizi, Malaysia kini diiktiraf sebagai peneraju yang kreatif, fokus, dan berpotensi dalam peralihan tenaga di Asia Tenggara.
Industri semikonduktor dan elektronik maju negara ini bukan hanya memainkan peranan penting dalam rantaian nilai global, tetapi juga menonjol sebagai negara 'neutral' yang berani di antara ketegangan China dan Amerika Syarikat.
Ia sekali gus memberi Malaysia perspektif baharu berhubung kepentingan kedudukan dan pengaruhnya di arena antarabangsa, terutama dalam konteks kemampanan dan potensi ekonomi masa depan.
Rafizi dalam pada itu optimis Malaysia berpotensi untuk maju sebagai negara berpendapatan tinggi dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
#WEF #AMNC24 #Kerajaan Madani #Rafizi Ramli
;