WEF: 6 saranan ASEAN kuasai hala tuju Revolusi Industri 4.0

Astro Awani
September 11, 2018 03:48 MYT
Pengerusi bersama WEF ASEAN dalam sidang pagi tadi di Hanoi, Vietnam. - Foto Flickr/WEF ASEAN
ASEAN boleh menjuarai Revolusi Perindustrian 4.0.
Hari kedua Forum Ekonomi Sedunia (WEF) ASEAN di Hanoi, Vietnam, tokoh-tokoh negara, korporat dan masyarakat sivil serantau memulakan diskusi dengan enam saranan utama.
Enam pengerusi bersama WEF ASEAN menzahirkan enam saranan bagi membentuk hala tuju rantau ASEAN dalam era IR4.0
Rujukan dan tumpuan penting kerana rantau ini diwarnai oleh pembangunan teknologi pesat dan khususnya internet menjadikan dunia tanpa sempadan.
Pengerusi Kumpulan CIMB Holdings, Datuk Seri Nazir Razak menegaskan pelan inisiatif Komuniti Ekonomi ASEAN atau AEC 2025 yang dirangka pada 2007 bagi menyediakan laluan untuk kemajuan rantau ini selepas 2016 perlu dikaji semula.
“Ekonomi dunia pada tahun 2007 sangat berbeza. Ini adalah peluang terbaik bagi kita memahami cabaran dan halangan untuk melaksana integrasi ASEAN.
“Pelan hala tuju itu harus memberi perhatian kepada mobility data, sumber manusia dan kapita ekonomi melangkaui batasan negara. Kita juga perlu melihat kepada kesan sampingan era IR 4.0,” tambah Nazir.
Pemangku Menteri Maklumat dan Komunikasi Vietnam, Nguyen Manh Hung berkat, inisiatif ONE ASEAN perlu dirangka bagi memastikan pembangunan sektor maklumat dan teknologi (ICT) serantau dapat berkembang secara inklusif.
“Tiga perkara utama yang perlu diwujudkan termasuk kadar rata panggilan antarabangsa, universiti ICT ASEAN dan pusat siber ASEAN. Vietnam mengamalkan sikap keterbukaan untuk negara-negara ASEAN membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut,” kata Nguyen.
Keterujaan Republik Indonesia dalam mendalami selok-belok dunia digital telah lama mengalami era revolusi.
Menurut Menteri Kewangannya Sri Mulyani Indrawati, pelan kerja dalam sektor pendidikan perlu dirangka untuk memperkasa arus perubahan dinamik era IR4.0.
“Sejumlah 20% bajet dalam ekonomi Indonesia merangkumi aspek pendidikan, serupa dengan Vietnam, namun berbeza dalam hasil keluaran negara masing-masing. Tenaga buruh dalam kalangan generasi muda juga perlu diperkasa bagi memberikan mereka peluang dan fleksibiliti dalam menyahut cabaran era IR4.0,” kata Sri Mulyani.
Sesi 30 minit berkenaan turut dihadiri oleh Menteri Luar Negeri Republik Korea, Kang Kyung-Wha dan Ketua Pegawai Eksekutif, Plan International United Kingdom Anne-Birgitte Albrectsen.
#Anne-Birgitte Albrectsen #ASEAN 2018 #CIMB #ekonomi #Kang Kyung-Wha #Nazir Razak #Sri Mulyani Indrawati #WEF ASEAN
;