WEF 2024: Ekonomi dunia diunjur terus suram, Asia kekal dominasi pertumbuhan
Najib Aroff
Januari 15, 2024 14:21 MYT
Januari 15, 2024 14:21 MYT
DAVOS: Prospek ekonomi dunia kekal suram kerana berdepan ketidaktentuan, dan dijangka terus bergelut dengan keadaan kewangan yang goyah serta isu geopolitik dan kemajuan kecerdasan buatan (AI) yang terlalu pantas.
Menurut laporan Unjuran Ketua Pakar Ekonomi yang dikeluarkan World Economic Forum (WEF) 2024, lebih separuh daripada pakar ekonomi yang terbabit dalam kajian menjangkakan ekonomi global akan terus melemah tahun ini.
Sebanyak 43 peratus lagi pakar ekonomi menjangkakan keadaan ekonomi tidak berubah atau lebih baik.
Selain itu, majoriti pakar ekonomi turut menjangkakan pasaran buruh dan keadaan kewangan akan lebih longgar tahun ini.
Meskipun kegusaran soal inflasi tinggi semakin mereda di kebanyakan rantau, namun unjuran pertumbuhan serantau masih tidak menentu dengan tiada satu rantau pun meramalkan pertumbuhan kukuh sepanjang 2024.
“Laporan Unjuran Pakar Ekonomi menonjolkan ketidaktentuan yang ketara dalam konteks persekitaran ekonomi semasa.
“Di tengah-tengah perbezaan yang semakin pesat, daya tahan ekonomi global akan terus diuji pada tahun ini.
“Walaupun inflasi global semakin berkurangan, pertumbuhan terbantut, keadaan kewangan kekal ketat, ketegangan global semakin mendalam dan ketidaksamaan semakin meningkat – menyerlahkan keperluan mendesak untuk kerjasama global untuk membina momentum bagi pertumbuhan ekonomi inklusif yang mampan,” kata Pengarah Urusan, World Economic Forum, Saadia Zahidi.
Unjuran Pertumbuhan Asia Selatan, Asia Timur dan Asia Pasifik
Kajian sama turut mendapati rantau Asia Selatan, Asia Timur dan Asia Pasifik kekal positif dan tidak berubah berbanding kajian terdahulu.
Sebanyak 93 peratus pakar ekonomi dikaji menjangkakan pertumbuhan sederhana bagi rantau itu sepanjang 2024 manakala 86 peratus pakar ekonomi menjangkakan pertumbuhan tidak berubah.
Seumlah 69 peratus pakar ekonomi menjangkakan pertumbuhan lebih sederhana di China susulan kelemahan kadar penggunaan, pengeluaran perindustrian yang lebih rendah selain sektor hartanah yang menimbulkan kegusaran dan mungkin memberikan prospek suram.
Eropah, Amerika Syarikat, Timur Tengah dan Afrika Utara terus bergelut
Di Eropah pula, pertumbuhan diramal terus melemah secara signifikan berbanding kajian pada September 2023 dengan majoriti pakar ekonomi meramalkan pertumbuhan lemah atau sangat lemah.
Manakala Amerika Syarikat, Timur Tengah dan Afrika Utara diramal merekodkan pertumbuhan yang lemah.
Berbanding kajian pada September 2023 yang mana lebih 78 peratus pakar ekonomi menjangkakan pertumbuhan lebih kukuh di tiga rantau ini, kajian terbaharu menunjukkan hanya 10 pakar ekonomi menjangkakan pertumbuhan sederhana atau kukuh tahun ini.
Ketidaktentuan geopolitik penyumbang besar
Tujuh daripada 10 pakar ekonomi yang dikaji menjangkakan perpecahan geopolitik akan terus memuncak tahun ini dengan majoriti responden berkata geopolitik akan menyebabkan ketidaktentuan ekonomi, pasaran saham, mewujudkan lebih banyak sikap perlindungan serta perpecahan antara Utara Global dan Selatan Global.