WEF 2023: Pertumbuhan ekonomi perlahan lebih buruk berbanding kemelesetan

Harits Asyraf Hasnan
Januari 17, 2023 06:15 MYT
Nela Richardson (dua, kanan) dan Gilles Moec (tiga, kanan) berkongsi pandangan pada Taklimat Ketua Ekonomi seiring Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang berlangsung pada Selasa. - Foto WEF
DAVOS: Pertumbuhan ekonomi yang perlahan dijangka menjadi permasalahan utama ketika ini berbanding unjuran kemelesetan dalam kalangan negara-negara maju.
Ketua Ekonomi Automatic Data Processing (ADP), Nela Richardson berkata kemelesetan sering kali tidak berlaku dalam tempoh yang lama.
Sebaliknya, pertumbuhan ekonomi yang perlahan akan mengambil masa lama, sekali gus memberi pelbagai kemudaratan kepada kehidupan rakyat dan negara.
"Apa yang akan berterusan adalah pertumbuhan perlahan dan itu benar-benar, dalam fikiran saya lebih teruk daripada kemelesetan, kerana pertumbuhan perlahan boleh berpanjangan untuk tempoh masa yang sangat lama.
"Jika anda teliti, terdapat tiga pemacu kepada punca kemelesetan.
"Pertama adalah perang di Ukraine, diikuti dasar kadar faedah tinggi yang memperlahankan pertumbuhan ekonomi maju selain dasar sifar COVID yang kini telah dibatalkan di China, tetapi kesannya masih besar terhadap China," katanya pada Taklimat Ketua Ekonomi seiring Forum Ekonomi Dunia (WEF) di sini pada Selasa.
BACA SEMUA BERHUBUNG FORUM EKONOMI DUNIA 2023 (WEF2023) DI SINI
Dalam pada itu, Ketua Ekonomi Kumpulan AXA, Gilles Moec berkata beliau menjangkakan kemelesetan tahun ini berada di tahap yang sangat minima lantaran beberapa jangkaan 'malapetaka' sebelum ini tidak menjadi kenyataan.
"Jika saya mengambil Eropah sebagai contoh, tiga empat bulan yang lalu, pandangan secara konsensus mengatakan bahawa kita mungkin perlu berdepan krisis bekalan tenaga.
"Sebaliknya ia tidak menjadi kenyataan sejak daripada awal musim sehingga kita berbaki beberapa minggu lagi musim sejuk - kita berjaya mengelakkannya.
"Satu lagi perkara yang membuatkan kami percaya bahawa kemungkinan kemelesetan yang diolah (engineered recession) adalah disebabkan oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) yang mengawal sesuatu pada tahap tertentu.
"Perkara yang sama jika keadaan menjadi tidak terkawal atau terlalu teruk.
"Kini The Fed mempunyai kuasa untuk 'undur semula' perkara tersebut," katanya.
#ekonomi #kemelesetan #Forum Ekonomi Dunia #wef 2023
;