WEF 2022: Tampan impak inflasi, subsidi bersasar pendekatan terbaik
Najib Aroff
Mei 24, 2022 13:47 MYT
Mei 24, 2022 13:47 MYT
DAVOS: Kenaikan harga minyak pada ketika ini menyaksikan Malaysia perlu segera melakukan subsidi bersasar, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Menurutnya, negara tidak boleh melaksanakan subsidi untuk semua golongan khususnya golongan kaya yang mana data menunjukkan setiap RM1 subsidi bahan api, 53 sen pergi kepada golongan T20 manakala 15 sen dimanfaatkan oleh B40.
"Apa yang kami mahu fokuskan ketika ini adalah subsidi bersasar. Kita tidak boleh ada subsidi untuk semua. Bagi sebahagian kumpulan, harus ada pengurangan berperingkat, kami akan mengambil masa (untuk laksanakan).
"Kami mahu meneruskan subsidi kepada kumpulan rentan terutama mereka yang kurang berkemampuan untuk membayar harga tenaga yang meningkat mendadak dalam jangka masa pendek," katanya dalam temu bual bersama stesen CNBC di WEF Davos, Switzerland.
Dalam masa sama, Zafrul mengakui, kenaikan harga komoditi memberikan kesan positif kepada hasil negara, namun, ia juga membawa kepada risiko inflasi yang harus dikawal.
"Apabila harga komoditi meningkat, sudah tentu Malaysia menerima manfaat, namun, kami mahu mengawal inflasi dan pastikan ekonomi terus tumbuh.
"Oleh itu kami akan meneruskan dasar fiskal mengembang melalui hasil tambahan daripada harga minyak tinggi, dan yang paling penting melindungi kesan terhada golongan rentan di Malaysia," katanya,
Beliau berkata, setakat ini Malaysia masih mampu mengawal inflasi pada kadar 2.2 peratus dengan pertumbuhan ekonomi yang kukuh pada suku pertama melepasi unjuran 5 peratus.
Beliau turut mengakui, risiko masih wujud untuk pemulihan ekonomi negara susulan peningkatan harga minyak mentah global pada ketika ini ,
"Dengan ketidaktentuan geopolitik pada ketika ini, gangguan rantai bekalan global dan China selaku rakan dagang utama Malaysia sedang berdepan kesan sekatan ekonomi bagi mengawal penularan COVID-19 di sana dan ini memberikan kesan kepada negara.
"Bagaimanapun, Malaysia amat bertuah kerana kami merupakan pengeksport bersih komoditi yang membolehkan kami menampan impak kenaikan harga.
"Kami juga sudah meningkatkan subsidi bagi makanan asas dan ia berjaya mengawal inflasi yang ketika ini berada pada 2.2 peratus pada bulan lepas.
"Selain itu dasar monetari kita juga kekal akomodatif meskipun ada kenaikan kadar, namun, ia jauh dari paras prapandemik," kata Tengku Zafrul lagi.