WEF 2022: Sistem mata wang persendirian akan wujud seiring sistem tradisional
Najib Aroff
Mei 24, 2022 12:40 MYT
Mei 24, 2022 12:40 MYT
DAVOS: Kemunculan sistem mata wang persendirian sesuatu yang tidak dapat dielakan dan ia dijangka wujud seiring dengan sistem kewangan sedia ada, kata Pengarah dan Pengasas Bersama Pusat Pembiayaan Alternatif Cambridge (CCAF), Profesor Robert Wardrop.
Keadaan itu, kata beliau, nyata memberikan cabaran besar khususnya buat bank-bank pusat seluruh dunia untuk mengemudi trend ini melalui dasar monetari sedia ada.
"Cabaran besar buat bank-bank pusat kerana transmisi dasar monetari melalui perubahan kadar faedah bagi bekalan wang, dan bersekali dengan kemunculan mata wang persendirian, sudah pasti tahap kemampuan untuk mengawal prestasi ekonomi negara dan kesanya melalui tindakan dasar adalah terhad.
"Ia amat mengancam bank-bank pusat. Bank-bank pusat akan cuba untuk mengekalkan kuasa berpusatnya dalam mengawal sistem kewangan.
"Namun, pada pandangan saya, mata wang persendirian akan wujud secara bersama. Idea mata wang digital bank pusat (CBDC) tidak akan berada pada tahap maju ketika ini dan hangat dibincangkan jika tidak kerana ancaman kompetitif yang terhasil akibat kemunculan mata wang persendirian," katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui di Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland.
Wardrop berkata, idea mata wang persendirian ini tercetus susulan krisis kepercayaan terhadap sistem sedia ada di pelbagai peringkat hasil kemuncula teknologi baharu yang memungkinkan perubahan besar berlaku dan mengganggu sistem sedia ada.
Katanya, ini adalah kerana gabungan tekanan geopilitik dan tindak balas dunia terhadap COVID-19 mencetuskan persoalan tentang tahap relevannya sistem institusi berpusat termasuk dalam arena kerajaan mahupun institusi lain.
Justeru, beliau menjelaskan, kepercayaan terhadap institusi tradisional berpusat akan dicabar oleh kemahuan sistem tanpa berpusat yang lebih berautonomi serta dipacu perubahan teknologi canggih.
"Jika kita lihat kos kepada perantaraan kewangan sejak 120 tahun lalu melibatkan pembayaran satu setengah peratus daripada nilai aset adalah diuruskan oleh perantaraan ini dan ia dibayar kepada mereka.
"Di sebalik segala perubahan teknologi dalam tempoh masa 120 tahun, kos ini tidak pernah turun. Mengapa? Jelas sekali perantaraan ini mengambil peluang terhada perubahan teknologi ini dan mengambil semua nilai yang ada melalui perantaraan.
"Jadi kemahuan untuk sistem tanpa berpusat yang mengatakan kami tidak lagi mahu membayar nilai satu setengah peratus itu, adalah semakin kuat," katanya.
Tambah beliau, dahulu teknologi berkait kriptografi tidak wujud namun ia sudah berubah seiring dengan teknologi kini memungkinkan edaran kewangan tanpa berpusat sebagai sistem alternatif pada kos yang jauh lebih murah.
"Jika kita gabungkan dengan kepercayaan yang semakin terhakis terhadap kuasa berpusat yang dimainkan melalui perantaraan kewangan serta teknologi yang memungkinkan edaran kewangan tanpat berpusat pada kos lebih murah, kita boleh faham kemahuan itu wujud dan ia cabaran buat sistem berpusat.
"Sistem perantaraan ini akan cuba untuk mengekalkan sisten satu setengah peratus itu," kata beliau lagi.
Justeru, Wardrop meramalkan sistem sedia ada mungkin berubah akibat kemunculan sistem mata wang persendirian termasuk kemungkinan wujud sistem berlapis bagi mengawal trend baharu ini bagi menjayakan kewujudan secara bersama.