WEF 2016: ASEAN perlu transformasi untuk capai potensi sepenuhnya - Najib
Astro Awani
Jun 1, 2016 19:39 MYT
Jun 1, 2016 19:39 MYT
ASEAN memerlukan transformasi dalam peraturan, prosedur, amalan bagi mencapai potensi sepenuhnya.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata negara anggota perlu bertindak sebagai sebuah identiti ASEAN dan meraih manfaat daripadanya.
Menurut Najib, identiti negara anggota serta kepentingannya dapat wujud secara bersama dan saling melengkapi.
“Apa yang perlu ialah transformasi menyeluruh jika Asean ingin mencapai potensi sepenuhnya.
“Ini jika kita mahu terus menjadi, seperti yang disebut Timbalan Pengarah Urusan IMF David Lipton, teladan bagi negara-negara di seluruh dunia yang bercita-cita untuk mencapai kemajuan ekonomi,” kata Najib.
Najib turut berkongsi kejayaan Malaysia dalam mengharungi krisis kewangan global dan kejatuhan harga komoditi seperti minyak melalui program transformasi GTP.
“Perancangan kami menyediakan fokus bagaimana dasar-dasar ekonomi Malaysia perlu berubah dan juga pembaharuan yang perlu dilakukan dalam sektor awam.
“Perancangan kami telah mencapai kejayaan,1.8 juta peluang pekerjaan telah tercipta, sekali gus meningkatkan pendapatan kasar negara hampir 50 peratus, juga mengekalkan inflasi pada tahap yang rendah dan meningkatkan FDI ke paras tertinggi,” kata Najib.
Sehubungan itu, kata Najib, ASEAN perlu langkah aktif untuk mengintegrasi transformasi berkenaan agar kekayaan populasi muda rantau ini tidak dipersiakan.
Beliau berkata demikian pada ucaptama forum ekonomi sedunia bagi ASEAN 2016 di ibu negara pada Rabu.