Wee cadang ubatan herba, rawatan komplimentari dikecualikan CBP

Bernama
Oktober 29, 2014 08:17 MYT
Datuk Wee Jeck Seng cadangkan kerajaan mengecualikan ubat-ubatan tradisional berasaskan herba dan perkhidmatan perubatan serta rawatan komplimentari daripada dikenakan CBP - Gambar Hiasan
Seorang anggota Parlimen pada Selasa mencadangkan supaya kerajaan mengecualikan ubat-ubatan tradisional berasaskan herba dan perkhidmatan perubatan serta rawatan komplimentari daripada dikenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP).
Datuk Wee Jeck Seng (BN-Tanjong Piai) berkata ubatan berasaskan herba penting dalam kehidupan harian individu yang mempunyai penyakit kurang serius, manakala rawatan komplimentari seperti akupuntur dan bekam juga penting bagi mereka yang serasi dengan cara perubatan sedemikian.
"Semasa Bajet 2015, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa ubat-ubatan bagi kebanyakan penyakit yang lazim tidak dikenakan CBP, tetapi tidak bagi ubat-ubatan berasaskan herba.
"Ini membimbangkan kerana menurut akhbar Cina, ubat-ubatan tradisional ini dijangka mengalami kenaikan harga antara tiga hingga lima peratus selepas CBP diperkenalkan," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2015 pada persidangan Dewan Rakyat di sini.
Beliau berkata kedai perubatan tradisional Cina serta perkhidmatan rawatan komplimentari Bumiputera dikhuatiri akan terkesan dan kurang daya saing akibat dikenakan cukai itu.
#CBP #ubat tradisional #Wee Jeck Seng
;