WCIT 2023 beri tumpuan terhadap ekonomi hijau

Ibrahim Sani
Oktober 5, 2023 14:19 MYT
WCIT 2023 dibuka hari ini hingga 6 Oktober di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK). -Astro AWANI/Ibrahim Sani
KUCHING: Kongres Inovasi dan Teknologi Dunia (WCIT) 2023 dibuka secara rasmi hari ini di bandar raya Kuching, Sarawak.
Antara tumpuan tahun ini adalah kepada ekonomi hijau, penangkapan dan penyimpanan karbon, serta ekonomi digital.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg merasmikan majlis pada Rabu, 4 Oktober 2023 yang disertai lebih 6,500 peserta dari seluruh dunia.
Kongres ini menyaksikan pelbagai Memorandum Persefahaman (MoU), perjanjian antara perniagaan (trade deals) ditandatangani.
Tidak lupa juga perbincangan antara pembuat dasar yang akan berkongsi pandangan dan pendapat sepanjang majlis berlangsung hingga 6 Oktober nanti.
Pemilihan bandar raya Kuching sebagai tuan rumah mendorong kerajaan negeri untuk memastikan pelabur dan pemain industri memberi tumpuan kepada potensi pembangunan setempat dan juga kepada negara secara keseluruhannya.
"Kami sangat teruja untuk melihat Kongres Inovasi dan Teknologi Dunia ke-27 2023 berlangsung di Kuching, sebuah bandar yang penuh dengan potensi dan daya tarikan.
"Pilihan ini mencerminkan misi berterusan kami untuk menyinari hab teknologi baharu muncul di seluruh dunia.
"Dengan kemajuan pesat yang berterusan dalam teknologi, perhimpunan sedemikian adalah penting dalam memupuk kerjasama dan memastikan kami kekal di barisan hadapan dalam inovasi," kata Pengerusi WITSA, Sean Seah.
Menyuarakan sentimennya, Ketua Pegawai Eksekutif WITSA Datuk Dan E Khoo berkata, "Malaysia secara konsisten mempamerkan kehebatannya dalam memangkin teknologi global.
"Tidak mengejutkan ini kali ketiga negara diberi kepercayaan dengan mantel WCIT.
"Suasana, tenaga, dan potensi di Kuching, Sarawak dapat dilihat, dan kami mengharapkan pengalaman yang memperkaya, produktif dan memberi inspirasi."
Menurut Premier Sarawak, tumpuan terhadap beberapa industri asas seperti ekonomi hijau sangat penting untuk pembangunan negara dan dunia.
"Pengubahan iklim adalah isu dunia dan semua negara bertanggungjawab untuk menyelesaikan secara bersama.
"Perkhidmatan seperti Sarawak Energy Hydrogen Production yang dikendalikan oleh Sarawak Economic Development Corporation (SEDC) di bawah Agenda Ekonomi Hijau kendalian kerajaan negeri adalah antara usaha mereka untuk mengetengahkan lagi isu bahan api berkarbon rendah," kata Abang Abdul Rahman Zohari.
WCIT 2023 dibuka hari ini hingga 6 Oktober, bersama Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) ke-6 2023, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Ia menampilkan lebih 50 rakan kongsi dan penaja termasuk Huawei, Malaysia Digital Economy Corporation, Digital Nasional Berhad, Sarawak Energy Berhad, Celcom Digi, iHeal dan MTDC.
Antara penceramah utama di WCIT 2023 tahun ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif Tomorrow, Mike Walsh; Felo Kanan Carnegie Endowment for International Peace, Michael R. Nelson; Persatuan Teknologi Pengguna Doug Johnson; Pengasas dan Ketua Projek Khas - Wanita Terhubung, Gina Romero; dan Datuk Idris Jala, Pemandu Associates.
Platform global juga menampilkan Pameran WCIT 2023 dengan pempamer yang mempamerkan trend terkini dalam inovasi dan teknologi.
Pengunjung pameran boleh mendaftar di https://www.wcit-idecs2023.com/ atau di tapak di BCCK.
Dengan sejarah yang kaya dalam memupuk hubungan global dan mempamerkan teknologi untuk kebaikan, WCIT 2023 bersedia untuk meninggalkan jejaknya di dunia kongres teknologi.
Turut dianjurkan bersama adalah Konferens Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS 2023) yang akan mempamerkan beberapa pameran berkenaan dengan ekonomi digital negara dan serantau.
#SDEC #Kuching #Sarawak #WCIT #IDECS #abang abdul rahman #Abu Bakar Marzuki #MDEC #sean seah #witsa
;