WCIT 2022 menutup tirai, raih RM46 bilion pelaburan
Harits Asyraf Hasnan
September 15, 2022 19:01 MYT
September 15, 2022 19:01 MYT
BAYAN BARU: Kongres Teknologi dan Inovasi Dunia (WCIT) 2022 yang menutup tirai pada Khamis telah berjaya menarik pelaburan bernilai lebih RM46 bilion.
Pengerusi Persatuan Teknologi Nasional Malaysia (PIKOM), Dr Sean Seah berkata nilai tersebut adalah hasil pertukaran dokumen dan MoU antara beberapa syarikat terbesar dalam arena teknologi dan digital global.
“Pelaburan ini adalah demi memajukan lagi teknologi Malaysia, ketika negara ini berusaha untuk merapatkan jurang di rantau Asia Tenggara.
“Kami yakin, pelaburan ini akan memberi manfaat kepada Malaysia dalam pelbagai cara.
“Kejayaan WCIT 2022 sememangnya tidak boleh diabaikan kerana kami telah meminimumkan jurang teknologi antara Malaysia dan beberapa negara maju di dunia,” katanya ketika menutup WCIT 2022 di Pusat Konvensyen Setia Spice di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, beliau berkata, penganjuran WCIT 2022 juga telah mewujudkan lebih daripada 25,000 peluang pekerjaan baharu melalui pelaburan langsung asing dan domestik digital.
Beliau turut memberi komitmen untuk terus berusaha menambah baik infrastruktur, meningkatkan pekerjaan, memupuk inovasi teknologi dan akhirnya, maju ke hadapan sebagai sebuah negara yang giat mengejar kecemerlangan teknologi.
Sejumlah lebih 4,000 delegasi dari lebih 60 negara telah menyertai WCIT 2022 selama tiga hari yang bermula pada Selasa lalu.
Lebih 200 ahli panel serata dunia telah memberi idea, cadangan serta pandangan mereka berkenaan kemajuan teknologi serta inovasi dalam persidangan berprestij yang dianggap sebagai temasya ‘Olimpik’ bagi penggiat industri teknologi dan inovasi.