Waran tangkap ke atas bekas pegawai, Petronas ambil tindakan undang-undang terhadap Sudan

Najib Aroff
Oktober 12, 2021 21:29 MYT
Petronas mula bertapak di Sudan sejak 20 tahun lalu dan membantu Sudan menjadi negara pengeksport minyak. - Foto fail
KUALA LUMPUR: Syarikat minyak negara, Petronas mengambil tindakan undang-undang terhadap Sudan selepas kerajaan sementara negara itu mengeluarkan waran tangkap terhadap bekas pegawainya.
“PetroDar Operating Company (PDOC), sebuah syarikat usaha sama di Sudan di mana PETRONAS mempunyai kepentingan, sedang melakukan tindakan undang-undang untuk membatalkan waran tangkap salah yang dikeluarkan terhadap mantan pegawainya yang berkaitan dengan tuntutan kesatuan sekerja yang dibuat terhadap PDOC. Peguam bebas PDOC sedang dalam proses membatalkan waran tangkap.
“Perkara ini tidak berkaitan dengan proses perundangan berkaitan tuntutan semula hak Petronas ke atas tanah dan Kompleks PETRONAS di Khartoum, yang mana Petronas sudah telah memohon timbang tara di Pusat Antarabangsa Penyelesaian Pertikaian (ICSID),” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
Terdahulu, kerajaan sementara Sudan mengeluarkan waran tangkap terhadap pengurus negara bagi syarikat minyak negara, Petronas, menurut sumber yang dipetik Daily Sabah.
Langkah itu menyusul selepas hubungan tegang antara Malaysia dan Sudan selepas negara itu merampas aset Petronas di sana.
Sumber dipetik sebagai berkata, tindakan terhadap Petronas dan beberapa pelabur asing lain yang dilakukan atas dakwaan kononnya berlaku korupsi, bakal menjejaskan hubungan bilateral masa hadapan.
Sumber turut berkata Petronas sudah ketandusan semua ruang diplomasi untuk menyelesaikan isu tersebut secara aman dan Sudan dilihat meneruskan tuduhan terhadap syarikat itu.
Sementara itu, sumber itu menambah selain Petronas, tindakan sama dikenakan terhadap syarikat dari China dan Pakistan.
Susulan penggulingan Presiden Omar Al-Bashir, kerajaan sementara mula meluluskan undang-undang serta mewujudkan Jawatankuasa Pengambilan Semula Wang, Anti Korupsi dan Pengusiran (ERC).
Ia bertujuan menilai semula perjanjian dan mengambil semula aset yang kononnya diambil secara tidak sah di bawah pentadbiran terdahulu.
Selain menyiasat bekas presiden dan rakan sekutunya, jawatankuasa itu turut mensasarkan dan menuduh beberapa pelabur asing di Sudan serta merampas aset mereka.
Petronas mula bertapak di Sudan sejak 20 tahun lalu dan membantu Sudan menjadi negara pengeksport minyak.
#Petronas #Sudan #Omar Al Bashir #minyak #PDOC
;