"Wang KWSP sebagai cagaran tidak wajar tanpa pelaksanaan holistik" - Penganalisis
Nabilah Khaleeda
Mac 10, 2023 14:39 MYT
Mac 10, 2023 14:39 MYT
KUALA LUMPUR: Cadangan kerajaan agar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memberi ruang kepada pencarum yang memerlukan untuk meminjam dari bank dengan jaminan cagaran wang agensi berkenaan telah menarik perhatian beberapa penganalisis ekonomi.
Menurut mereka meskipun cadangan itu baik, kerajaan perlu mengkaji semula pelaksanaannya secara holistik, agar rakyat pada akhirnya tidak semakin terbeban.
Menurut Ketua Pengarah Eksekutif HIJRAH Strategic Advisory Group (HSAG), Rohani Mohd Shahir, kaedah ini mempunyai risikonya.
"Pelaksanaan cadangan ini akan menyebabkan pelbagai isu berbangkit memandangkan ia tidak pernah wujud sejak penubuhannya pada 1951," kata Rohani ketika dihubungi Astro AWANI.
Sementara itu pensyarah ekonomi Putra Business School, Prof Madya Ahmed Razman Abdul Latiff pula berkata, langkah ini hanya akan menambah beban isi rumah yang sudah sedia tinggi, khususnya golongan B40.
Tambahnya, cadangan tersebut akan memerlukan pindaan akta yang selama ini tidak membenarkan jaminan wang agensi berkenaan sebagai cagaran.
"Saya lebih cenderung jika rakyat dapat dibantu melalui alternatif pembiayaan yang tidak melibatkan faedah atau riba daripada institusi kewangan tetapi berbentuk pinjaman Qardhul Hassan yang boleh menjadi inisiatif atau program lebih mampan jika konsep hibah disekalikan dengan pinjaman Qardhul Hassan itu," katanya.
Dalam pada itu Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Yusof Saari pula berpendapat cadangan ini dilihat seolah-olah ia langkah kerajaan mengalihkan beban atau tanggungjawab mereka kepada isi rumah.
Pada masa sama, melihat dari segi perspektif gelagat peminjam, beliau menjangkakan pinjaman yang diambil dari bank akan turut gagal dilangsaikan, sekali gus menyebabkan berlakunya pengeluaran dana KWSP.
"Saya sebagai penganalisis ekonomi saya berpandangan bahawa kalau kita tengok dahulu kerajaan telah memberi kebenaran untuk mengeluarkan beberapa siri KWSP. Sepatutnya dana tersebut adalah dana yang tidak boleh boleh diusik, dana untuk mereka di hari tua.
"Sepatutnya kerajaan perlu ganti balik keseluruhan wang yang telah dikeluarkan tersebut, itu secara idealnya yang sepatutnya berlaku sebagai kerajaan yang bertanggungjawab," tambahnya.
Justeru, para penganalisis berpendapat kerajaan serta pihak berwajib perlu terlebih dahulu harus mengenal pasti masalah yang dihadapi rakyat terutama mereka yang berpendapatan rendah.
Seterusnya, memikirkan pendekatan terbaik yang dapat memanfaatkan golongan yang betul-betul terdesak menggunakan pendekatan yang lebih khusus.
Semalam pada semasa penggulungan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan KWSP memberi ruang kepada pencarum yang mempunyai baki akaun mencukupi serta terdesak untuk meminjam wang dari bank dengan jaminan cagaran wang agensi berkenaan.
Beliau berkata, kaedah itu akan memudahkan pencarum yang terdesak untuk mendapat bantuan kewangan.