Wan Zulkiflee dilantik Presiden Petronas mulai 1 April 2015

Bernama
Februari 9, 2015 23:04 MYT
Wan Zulkiflee mempunyai pengalaman luas dalam industri petroleum negara dan kini merupakan ketua pegawai operasi petronas serta nasib presiden Eksekutif Perniagaan Hiliran. - Gambar Fail
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pelantikan Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas berkuat kuasa 1 April 2015 hingga 31 Mac 2018.
Beliau menggantikan Tan Sri Shamsul Azhar Abbas yang tamat kontrak perkhidmatannya hari ini, tetapi perkhidmatannya disambung dari 10 Feb 2015 hingga 31 Mac 2015.
Dalam satu kenyataan, Najib berkata kerajaan mengucapkan terima kasih kepada Shamsul Azhar atas sumbangan beliau kepada Petronas sejak memegang jawatan tersebut pada 2010.
Beliau berkhidmat dengan Petronas sejak 1975 dengan memegang beberapa jawatan kanan pentadbiran.
Perdana Menteri berharap Shamsul Azhar dapat menyumbang kepada pembangunan negara, terutama dalam bidang tenaga berdasarkan pengetahuan dan pengalaman luas yang beliau miliki.
Sementara itu, Wan Zulkiflee mempunyai pengalaman luas dalam industri petroleum negara dan kini merupakan Ketua Pegawai Operasi Petronas serta Naib Presiden Eksekutif Perniagaan Hiliran.
Selain itu beliau juga ialah Pengerusi Petronas Chemicals Group Bhd dan Petronas Dagangan Bhd.
Perdana Menteri berkata Wan Zulkiflee mempunyai kelayakan serta pengalaman untuk membawa kejayaan berterusan kepada Petronas.
#Najib Razak #Petronas #Wan Zulkiflee Wan Ariffin
;