Volvo sasarkan pertumbuhan 10 peratus tahun ini

Bernama
Mei 19, 2017 23:39 MYT
Pengarah Urusan Volvo Malaysia Mats Nilsson berkata, Malaysia yang sedang bergerak ke arah menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020 sepatutnya tidak lagi memerlukan lori yang dibina atau dibaikpulih semula. - Gambar fail
Volvo Malaysia Sdn Bhd telah menetapkan sasaran pertumbuhan keseluruhan sebanyak 10 peratus dari tahun ke tahun untuk 2017 dalam segmen kenderaan berat yang premium, disokong oleh lori perdananya, Volvo FH, yang telah dilancarkan pada April.
Pengarah Urusan Mats Nilsson berkata, sebagai peneraju pasaran dengan 45 peratus penguasaan dalam segmen jenama Eropah, Volvo yakin siri FH, yang menampilkan standard baharu dalam pengangkutan jarak jauh, akan memenuhi citarasa pelanggan.
"Dengan tork yang lebih baik dan kuasa yang tidak dimiliki oleh model lain, kami percaya siri FH telah meningkatkan penguasaan pasaran secara keseluruhan sebanyak 20 peratus pada tahun lepas," katanya kepada Bernama selepas muncul sebagai ahli panel di Forum Komuniti Ekonomi ASEAN mengenai peluang dan cabaran kepada syarikat-syarikat pengangkutan dan industri di sini hari ini.
Nilsson berkata ketika negara-negara ASEAN bergerak ke arah meliberalisasikan sempadan mereka, Malaysia harus menyediakan dirinya untuk pasaran terbuka supaya kekal kompetitif dalam industri.
"Sweden, yang memiliki hanya satu pertiga daripada penduduk di Malaysia, mempunyai syarikat-syarikat yang dikenali di seluruh dunia seperti IKEA, H&M, Ericsson dan Volvo, kerana kami telah terdedah kepada persaingan dan berkembang menjadi lebih kukuh.
"Pasti wujud cabaran tetapi saya yakin kunci untuk menanganinya adalah melalui pendidikan dan melengkapkan rakyat dengan pengetahuan yang sesuai jika mahu maju ke hadapan," katanya.
Beliau menjelaskan keperluan mendidik orang ramai mengenai bilangan jam yang perlu dibenarkan untuk seseorang pemandu, penyelarasan dalam cukai kenderaan dan peraturan piawaian keselamatan.
Katanya, Malaysia yang sedang bergerak ke arah menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020 sepatutnya tidak lagi memerlukan lori yang dibina atau dibaikpulih semula kerana ia tidak dapat menjamin kualiti.
"Lori yang terpakai dan dibaiki semula tidak digunakan di atas jalan negara-negara maju. Kerajaan perlu mengkaji semula perkara ini, tetapi sekali lagi, kami memahami bahawa ia mungkin mempunyai kesan ekonomi ke atas industri," katanya.
-- BERNAMA
#ASEAN #bilangan jam #kenderaan berat #lori perdana #lori terpakai #Mats Nilsson #pertumbuhan #Volvo FH #Volvo Malaysia
;