Volvo Car tawar pembiayaan istimewa demi kepuasan pelanggan
Faris Danial Razi
Mei 21, 2022 12:50 MYT
Mei 21, 2022 12:50 MYT
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia kini boleh menikmati kemudahan yang serupa dengan pinjaman perumahan atau pembiayaan yang membolehkan pengurangan baki pokok dan caj keuntungan dengan tawaran menarik yang disediakan oleh Volvo Car Malaysia.
Ini selepas jenama kereta dari Sweden itu memperkenalkan kaedah Volvo Car Finance yang meletakkan keutamaan tertinggi pada perkhidmatan pelanggan dan kepuasan dengan tawaran yang direka untuk memberikan pengalaman premium Volvo.
Menurut Pengarah Urusannya, Charles Frump, dengan adanya pembiayaan premium melalui Volvo Car Finance, memiliki kenderaan jenama tersebut kini lebih mudah buat rakyat Malaysia.
“Ia termasuk kadar faedah serendah 1.88% setahun (setara dengan kadar rata) untuk semua kenderaan Volvo bagi semua tempoh pembiayaan.
“Malah, tawaran melalui Volvo Car Finance turut memberi kelebihan tempoh pembiayaan sehingga sembilan tahun, dengan jumlah kemudahan maksimum sebanyak RM500,000.
“Selain itu, pelanggan mempunyai pilihan untuk memasukkan Pakej Penyelenggaraan dan Aksesori Prabayar ke dalam kemudahan pembiayaan,” katanya menerusi satu kenyataan media pada Khamis.
Volvo Car Malaysia memperkenalkan Volvo Car Finance melalui perkongsian dengan RHB Bank Berhad (RHB).
Ia termasuk pengurangan baki pembiayaan yang memanfaatkan kadar berubah dengan faedah yang disemak semula ke atas jumlah tertunggak, untuk memberi manfaat kepada pelanggan yang ingin melabur lebih banyak dalam pembayaran prinsipal mereka.
Sementara itu, Pengarah Urusan Komuniti Kumpulan di Kumpulan Perbankan RHB, Jeffrey Ng menambah, pihaknya teruja dengan apa yang bakal dibawa oleh perkongsian ini dan berharap untuk menyokong pelanggan Volvo dengan fleksibiliti memiliki kenderaan Volvo yang mereka inginkan.