Visa tawar perkhidmatan Apple Pay kepada pemegang kad di Malaysia
Bernama
Ogos 9, 2022 20:53 MYT
Ogos 9, 2022 20:53 MYT
KUALA LUMPUR: Visa Inc bekerjasama dengan Ambank, Maybank dan Standard Chartered Bank untuk menawarkan perkhidmatan Apple Pay kepada pemegang kadnya di Malaysia.
Perbadanan perkhidmatan kewangan multinasional itu berkata Apple Pay merupakan kaedah pembayaran yang selamat, tanpa sentuh dan mudah selain membantu pelanggan mengelak daripada menyerahkan kad pembayaran mereka kepada orang lain, menyentuh butang fizikal atau menukar wang tunai dengan hanya menggunakan iPhone dan ia diterima di lokasi peniaga di seluruh dunia.
Pengurus Negara Visa Malaysia Ng Kong Boon berkata penggunaan pembayaran digital berkembang pesat sejak dua tahun lepas dan sekali gus mempercepatkan peralihan Malaysia untuk menjadi masyarakat tanpa tunai.
"Visa gembira untuk menyokong pengenalan Apple Pay di Malaysia, terutamanya sejak negara ini telah berada dalam kedudukan yang baik dari segi penerimaan dan penggunaan pembayaran tanpa sentuh.
"Kami percaya Apple Pay dengan pengalaman tanpa PIN yang selamat, milik sendiri dan mudah akan mendapat sambutan yang baik," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut VISA, setiap pembelian Apple Pay adalah selamat kerana ia disahkan dengan pengesahan muka (Face ID), Sentuh ID (Touch ID) atau kod laluan peranti dan kod keselamatan dinamik satu kali penggunaan yang unik.
Katanya selain menggunakan Apple Pay bagi transaksi bersemuka, pemegang kad boleh menggunakannya melalui aplikasi, secara dalam talian atau di Apple Watch tanpa perlu membuka akaun atau mengisi maklumat penghantaran dan bil secara berulang kali.
Menurut Visa, nombor kad sebenar tidak disimpan dalam peranti atau pelayan Apple tetapi sebaliknya nombor akaun peranti yang unik diberikan, tersulit dan disimpan dalam elemen selamat untuk menyimpan maklumat pembayaran dengan selamat dalam peranti.
"Berdasarkan pembayaran tanpa sentuh yang berkembang, kami yakin peranti mudah alih pintar akan terus menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian kita, menggantikan dompet yang penuh dengan wang tunai," tambah Ng.
-- BERNAMA