Vietnam, Malaysia miliki potensi besar untuk kerjasama perdagangan
Bernama
Disember 6, 2024 17:32 MYT
Disember 6, 2024 17:32 MYT
HANOI: Vietnam dan Malaysia mempunyai potensi besar untuk memperkukuh kerjasama perdagangan, terutamanya dalam eksport ikan tra (pangasius/patin) Vietnam, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).
Menurut pakar, kedua-dua negara dapat memanfaatkan perjanjian perdagangan serantau seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) bagi meningkatkan hubungan dagangan mereka.
Persatuan Eksport dan Pengeluar Makanan Laut Vietnam (VASEP) melaporkan bahawa produk pangasius Vietnam secara konsisten berada di kedudukan antara ikan putih paling digemari di pasaran global, termasuk Malaysia.
Eksport ikan itu ke Malaysia menunjukkan pertumbuhan stabil dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
Eksport pangasius Vietnam ke Malaysia dianggarkan mencecah AS$31 juta dalam tempoh 11 bulan pertama tahun ini, dengan peningkatan lebih 21 peratus berbanding tahun lalu, menurut wakil VASEP.
Pakar pasaran dari VASEP, Nguyen Thi Thu Hang berkata bahawa filet pangasius beku merupakan produk ikan putih yang paling banyak diimport di Malaysia.
Vietnam menyerlah sebagai pembekal terbesar filet pangasius beku ke Malaysia, menyumbang 96 peratus daripada jumlah import negara itu dalam kategori ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha VASEP, To Thi Tuong Lan menekankan bahawa Malaysia sebagai pasaran penting dalam ekonomi Halal.
Bagi mengekalkan dan mengembangkan kedudukan mereka di pasaran ini, pengeksport pangasius Vietnam perlu mematuhi piawaian pensijilan Halal dan memastikan mereka memenuhi keperluan ini dengan cemerlang, katanya.
-- BERNAMA