Vietnam akan keluarkan Apple Watch, Macbook buat kali pertama

Bernama
Ogos 17, 2022 21:15 MYT
Pembekal Apple Luxshare Precision Industry dan Foxconn telah memulakan pengeluaran percubaan Apple Watch di utara Vietnam dengan tujuan untuk mengeluarkan peranti itu di luar China. - Gambar fail REUTERS
HANOI: Apple sedang berbincang untuk membuat Apple Watches dan MacBook di Vietnam buat kali pertama ketika gergasi teknologi Amerika Syarikat itu berusaha untuk mempelbagaikan pengeluarannya di luar China, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA), memetik Nikkei Asia.
Pembekal Apple Luxshare Precision Industry dan Foxconn telah memulakan pengeluaran percubaan Apple Watch di utara Vietnam dengan tujuan untuk mengeluarkan peranti itu di luar China.
Mengenai pengeluaran MacBook, Apple telah meminta kilang pembekal untuk membuat pengeluaran percubaan di Vietnam. Bagaimanapun, kemajuan dalam memindahkan pengeluaran secara besar-besaran ke negara itu bergerak perlahan, sebahagiannya disebabkan oleh gangguan berkaitan pandemik.
Vietnam sudah pun menjadi hab pengeluaran paling penting untuk Apple di luar China, menghasilkan pelbagai produk perdana untuk syarikat Amerika itu, termasuk tablet iPad dan fon telinga (earphone) AirPods.
Apple juga meneruskan pemindahan pengeluaran iPad ke Vietnam dalam usaha untuk mempelbagaikan pengeluarannya. Selain itu, kumpulan itu juga sedang berbincang dengan pembekal untuk membuat pengeluaran percubaan pembesar suara pintar HomePodnya di Vietnam.
Bilangan pembekal Apple dengan kemudahan di negara Asia Tenggara itu telah meningkat kepada sekurang-kurangnya 22 syarikat daripada 14 syarikat pada 2018, menurut analisis Nikkei Asia mengenai senarai pembekal terkini Apple yang tersedia.
Banyak pengeluar elektronik utama lain seperti Google, Dell dan Amazon juga memindahkan pengeluaran mereka ke negara itu untuk mempelbagaikan pengeluarannya di luar China.
-- BERNAMA
#Vietnam #China #Apple Watches #Apple MacBook