KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan swasta terbesar Vietnam, Vietjet, mengumumkan perkhidmatan baharu penerbangan terus di antara Hanoi dengan Kuala Lumpur, yang dijangka memperkukuh hubungan ekonomi, budaya dan pelancongan antara Vietnam dan Malaysia serta di seluruh Asia Tenggara.

Laluan Hanoi-Kuala Lumpur yang akan bermula 28 Nov 2024 melibatkan tujuh perjalanan pergi dan balik pada setiap minggu.

"Pelancaran laluan baharu ini dilaksanakan ketika Vietnam dan Malaysia meningkatkan hubungan dua hala ke arah perkongsian strategik yang komprehensif, mewujudkan peluang baharu untuk kerjasama dan pembangunan.

"Dengan menghubungkan kedua-dua ibu negara ini, laluan berkenaan akan meningkatkan kesalinghubungan penerbangan serantau dan meningkatkan lagi kerjasama ekonomi dan kebudayaan," katanya dalam kenyataan kepada Bernama hari ini.

Laluan ini adalah perkhidmatan kedua syarikat penerbangan itu untuk menghubungkan Vietnam dan Malaysia selepas laluan Ho Chi Minh City-Kuala Lumpur yang diperkenalkan pada 2016.

Menurut Vietjet pengenalan laluan baharu itu akan meningkatkan tawaran penerbangannya antara Vietnam dan Malaysia kepada 14 perjalanan pergi balik pada setiap minggu, memenuhi permintaan perjalanan yang semakin meningkat antara kedua-dua negara.

Syarikat penerbangan itu berkata, pemimpin kedua-dua negara menyambut baik kepentingan laluan baharu itu dan menyatakan keyakinan bahawa sambungan Hanoi-Kuala Lumpur akan menyumbang kepada pengukuhan kerjasama dua hala.

"Laluan baharu itu akan turut meningkatkan perkongsian strategik komprehensif antara Vietnam dan Malaysia serta menggalakkan pembangunan bersama ASEAN," katanya.

Pelancaran laluan baharu itu disaksikan oleh Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam To Lam semasa lawatan rasmi tiga hari beliau ke Malaysia yang berakhir hari ini.

Sementara itu, Duta Besar Malaysia ke Vietnam Datuk Tan Yang Thai mengalu-alukan usaha Vietjet dalam mengembangkan rangkaian penerbangan antarabangsanya serta komitmen syarikat penerbangan itu untuk menambah baik kualiti perkhidmatan, memastikan keselamatan dan meningkatkan kepuasan penumpang.

"Laluan baharu ini memberi impak besar kepada sektor penerbangan kedua-dua negara. Perkongsian strategik komprehensif antara kedua-dua negara yang baru sahaja kami umumkan semasa lawatan Lam dua hari lepas telah bermula dengan baik menerusi pengumuman pelancaran laluan penerbangan ini.

"Laluan tambahan antara Malaysia dan Vietnam ini akan membantu memperluas pelancongan antara kedua-dua negara," katanya semasa berucap pada pelancaran laluan baharu Hanoi-Kuala Lumpur hari ini.

-- BERNAMA