VFive dinobat pemenang BrandLaureate Bumiputera BestBrands 2022
Dagang News
Februari 28, 2022 08:00 MYT
Februari 28, 2022 08:00 MYT
KUALA LUMPUR: Kejayaan dan kecemerlangan berterusan yang dicapai oleh syarikat milikan penuh bumiputera, VFive Group Sdn Bhd, diberikan penghargaan apabila dinobatkan sebagai pemenang anugerah kategori The BrandLaureate Bumiputera BestBrands 2022.
Anugerah tersebut diterima oleh Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat berkenaan, Datuk Syafiq Abdullah pada majlis gala yang dianjurkan oleh The BrandLaureate, badan pengiktiraf jenama dan penjenamaan bertempat di sebuah hotel, baru-baru ini.
Majlis yang dihadiri sekitar 300 hadirin itu meraikan dan mengiktiraf jenama Bumiputera yang telah berjaya mengukir tanda kecemerlangan mereka dalam industri masing-masing.
Para pemenang dinilai berdasarkan kejayaan syarikat menepati kriteria-kriteria yang ditetapkan serta menjadi sumber inspirasi kepada banyak perniagaan dan jenama yang bercita-cita tinggi di luar sana, selari dengan objektif memartabatkan jenama Bumiputera selaku kebanggaan negara.
Mengulas mengenai anugerah yang diterima, Datuk Syafiq Abdullah berkata, kejayaan ini bukanlah milik beliau seorang tetapi hasil kerja keras semua kakitangan yang bertungkus-lumus memastikan syarikat berjaya mencapai segala sasaran yang diinginkan.
“Kejayaan ini diharapkan akan menjadi pembuka lembaran kecemerlangan VFive Group di tahun 2022, ke haluan mencapai lebih banyak lagi kejayaan-kejayaan di masa akan datang.
‘’Kita tidak mahu selesa dan berpuas hati di tahap ini sahaja, malah akan terus berusaha dengan lebih kuat,” katanya dalam kenyataan media di sini.
Shafiq turut mengambil kesempatan menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah banyak menyumbang secara langsung mahupun tidak langsung ke arah kejayaan VFive Group sehingga ke hari ini.
Lebih manis lagi, tahun 2022 merupakan tahun yang cukup bersejarah buat syarikat berkenaan yang telah genap 10 tahun beroperasi sejak ditubuhkan pada tahun 2012.
“Alhamdulillah, kami sememangnya sangat-sangat bersyukur kerana sentiasa diberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi dari semua pihak termasuklah para pemegang taruh, rakan niaga, klien, pembekal dan juga vendor,” ujarnya lagi.
Antara anugerah lain yang turut disampaikan pada majlis gala tersebut adalah Brand ICON Leadership, ICONIC Brand of The Year, Bumiputera Brand Leadership, CSR BrandLeadership, dan World Halal Bestbrands kepada syarikat-syarikat pemenang. – DagangNews.com