Vanessa Hudson wanita pertama dilantik sebagai CEO Qantas
Bernama
Mei 2, 2023 12:20 MYT
Mei 2, 2023 12:20 MYT
SYDNEY: Syarikat penerbangan Qantas mengumumkan Vanessa Hudson dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO), sekali gus menjadikan beliau wanita pertama yang dilantik memegang jawatan itu dalam sejarah 103 tahun syarikat, lapor Agensi Berita Jerman dpa.
Menurut Qantas, Hudson yang sudah berkhidmat di syarikat berkenaan selama 28 tahun akan secara rasmi mengambil alih jawatan itu selepas Mesyuarat Agung Tahunan 2023 pada November.
"Ini satu penghormatan besar untuk menerajui sebuah syarikat yang luar biasa," katanya.
Beliau akan menggantikan Alan Joyce yang akan bersara.
Pengerusi Qantas, Richard Goyder, turut merakamkan penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada Joyce.
"Beliau telah banyak memberikan sumbangan besar kepada Qantas," kata Goyder.
Joyce turut memuji langkah Qantas kerana mencipta sejarah dengan melantik ketua eksekutif wanita yang pertama.
"Saya...sangat gembira kerana dalam 103 tahun sejarah Qantas hanya terdapat 12 CEO, ini adalah CEO wanita pertama dalam tempoh itu dan itu adalah penghargaan kepada keupayaan wanita yang ada dalam pasukan pengurusan kami," katanya.
--BERNAMA-dpa