ValueCap tepat untuk sokong Bursa
Malik Ridhwan
September 23, 2015 09:32 MYT
September 23, 2015 09:32 MYT
Pakar pelaburan menyifatkan langkah mewujudkan semula ValueCap Sdn Bhd dengan dana RM20 bilion mampu mengembalikan pelabur asing serta menyokong pasaran saham.
Menurut Ketua Pegawai Pelaburan Ekuiti AmInvest, Andrew Wong Yoke Leong, pendekatan sama pernah dilakukan di beberapa negara termasuk China, Thailand dan Hong Kong.
Beliau berkata, ia tempoh sesuai untuk menyokong asas pasaran ketika ini memandangkan pegangan asing semakin berkurangan berikutan aliran keluar modal.
"Tidak ada kesalahan untuk lakukan langkah itu (sokong pasaran). Saya rasa ia akan berjaya untuk menyokong pasaran kerana berdasarkan tekaan saya, pegangan asing yang kini berada sekitar 21 peratus dan tertinggi adalah 27 peratus.
"Tidak banyak pegangan pelabur asing ketika ini. Sehubungan itu, ia berkesan bagi menampung dan menyokong asas pasaran," katanya ketika membentangkan unjuran pasaran ekuiti dan strategi AmInvest di sini pada Selasa.
Wong berkata, kelemahan pasaran saham dan juga ringgit dipengaruhi faktor luaran dan dalaman.
Antara faktor luaran termasuk kelemahan pertumbuhan China dan jangkaan kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan AS.
Mengulas faktor luaran, beliau berkata, Malaysia harus segera menyesuaikan diri terhadap perubahan struktur ekonomi China dengan segera.
Tambahnya lagi, isu domestik turut mempengaruhi premium risiko dalam pasaran saham.
"Selesaikan semua masalah (domestik) dulu. Lebih pantas kita selesaikan ketidaktentuan, lebih cepat ia pulih. Ringgit tidak seharusnya berada pada paras yang dialami ketika ini tetapi ia sepatutnya lebih kukuh.
"1MDB adalah isu utama, kerana ia mampu mempengaruhi isu lain. Apabila semua perkara berjalan lancar, tidak ada sesiapa mengadu. Jika ia tidak betul, semua orang tidak akan bersetuju walaupun hanya isu kecil," katanya.
Andrew berkata jika kesemua isu domestik diselesaikan segera prestasi Bursa Malaysia mampu mencapai paras antara 1,700 hingga 1,720 mata menjelang 2016.