Vaksin COVID-19: Program imunisasi mampu pulihkan sektor pelancongan Sabah

Ridzal Abdullah
Februari 27, 2021 10:04 MYT
Jafry mohon pertimbangan agar semua pemain industri pelancongan diberikan vaksin di peringkat awal. - Foto Facebook/@JafryHjAriffin
TAWAU: Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan merupakan satu harapan buat operator pelancongan di Sabah.
Mereka berharap vaksin akan jadi pembuka jalan untuk sektor pelancongan kembali beroperasi.
“Ini merupakan satu titik permulaan memberikan cahaya kepada sektor pelancongan dalam memastikan kita dapat bangkit semula.
“Sektor ini sangat terkesan akibat pandemik COVID-19 dan kita berharap dengan adanya vaksin ini, dapat kita mulakan mengorak langkah sektor pelancongan di negeri Sabah,” kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin.
Jafry mohon pertimbangan agar semua pemain industri pelancongan diberikan vaksin di peringkat awal.
“Kami bergantung kepada susun atur oleh kerajaan dan kami mengharapkan para pemain industri pelancongan diberi keutamaan kerana mereka merupakan petugas barisan hadapan (frontliner) bagi sektor pelancongan.
“Usaha untuk memberikan suntikan vaksin kepada mereka sangat dialu-alukan,” tambahnya.
Justeru itu, Sabah Tourism Board (STB) yang dipertanggunjawabkan untuk merancakkan semula sektor pelancongan ini telah mengadakan mesyuarat dengan semua pihak yang terlibat untuk pembukaan sektor pelancongan dalam masa terdekat.
#COVID-19 #vaksin #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #Sabah #pelancongan #Jafry Ariffin
;