Usahawan Tidak Mengira Batasan Umur di GREAT 2014

Agensi
Oktober 7, 2014 16:59 MYT
Usahawan hari ini perlu sentiasa melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran supaya kita tidak ketinggalan dalam mengejar arus kemodenan dan perubahan zaman.
Salah satu kemahiran relevan yang dapat melonjakkan negara kita sebagai sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020 adalah kemahiran keusahawanan. Laporan Bank Dunia Edisi 2013 meletakkan Malaysia di tangga ke-12 paling berdaya saing bagi perniagaan, lonjakan enam anak tangga berbanding 2011 iaitu lonjakan yang paling tinggi setakat ini.
Usahawan hari ini perlu sentiasa melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran supaya kita tidak ketinggalan dalam mengejar arus kemodenan dan perubahan zaman. Keusahawanan hari ini memerlukan kreativiti dan inovasi dalam menyediakan penyelesaian kepada sesuatu permasalahan yang bukan sahaja mencakupi industri seperti kejuruteraan atau teknologi, tetapi juga industri biasa seperti pemakanan dan fesyen serta industri baru yang mempunyai potensi besar seperti industri yang berkait dengan alam sekitar serta media sosial.
Kemahiran ini perlu dipupuk sejak kecil lagi, agar kita mempunyai kebolehan dalam mengenalpasti permasalahan yang ada, mencari jalan penyelesaian dan mengkomersilkan penyelesaian tersebut melalui keusahawanan.
Menyedari kepentingan ini, Gabungan Rakan Entrepreneur Aspirasi Terhebat atau GREAT 2014, inisiatif terbaru anjuran Kementerian Kewangan melalui Unit Strategi Nasional antara lainnya, menerapkan semangat dan kemahiran keusahawanan di kalangan golongan belia termasuk kanak-kanak dan remaja melalui program-program anjurannya. Acara empat hari yang dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 17hb September lepas mewujudkan satu landasan untuk usahawan, dan ‘start-ups’ untuk membina rangkaian dengan mereka yang bersehaluan, mendapat bimbingan dalam aspek keusahawanan, inovasi dan pelaburan serta membentuk ekosistem keusahawanan yang kukuh.
Acara yang bermula dari 17hb September sehingga 20hb September 2014 ini telah menyaksikan kerjasama pihak Kerajaan dan swasta untuk membantu Malaysia ke arah sebuah Negara berunsurkan keusahawanan dan bertujuan untuk memajukan para usahawan Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.
Antaranya, generasi muda yang berumur antara 12 hingga 17 boleh mendapatkan pendedahan awal dalam bidang keusahawanan dan belajar bagaimana untuk menyelesaikan masalah, memangkinkan pemikiran kreatif dan proses pembangunan usahawan melalui program ‘StartUp Teens’. Program empat hari ini memberi bimbingan kepada golongan remaja menjadi generasi penyelesai masalah dengan pemikiran usahawan, dan menggunakan teknologi untuk menangani cabaran yang dihadapi. Remaja yang menyertai program ‘StartUp Teens’ berpeluang membentangkan atau ‘pitch’ idea perniagaan mereka di hadapan para panel berpengalaman dari pelbagai industri.
Program Halal Tech Power Challenge yang dibawa oleh Halal Tech Venture Builder (HTVB) pula mensasarkan usahawan belia dengan sesi bimbingan intensif untuk memulakan perniagaan berasaskan pasaran Halal dan teknologi atau atas talian. Pada hari terakhir GREAT 2014, 10 kumpulan peserta telah berentap untuk memenangi dana permulaan bernilai lebih RM 130,000.
Landasan seperti GREAT 2014 adalah penting untuk mendidik, menggalak, membangunkan dan meraikan para usahawan serta menunjukkan bahawa keusahawanan adalah trend sensasi dan menarik, bukan sahaja untuk golongan dewasa tetapi juga golongan muda mudi. Ini adalah penting bagi memastikan keaktifan dan kesinambungan ekosistem keusahawanan yang dapat menjana pertumbuhan ekonomi Negara yang lebih kukuh.
#ekosistem keusahawanan #entrepreneurship #GREAT 2014 #Halal Tech Power Challenge #MaGIC #Malaysia #MOF #NSU #Startup Teens #Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar Abdullah #usahawan
;