Usahawan PKS perlu ambil peluang tembusi pasaran antarabangsa - Tengku Zafrul
Hilmi Malik
Jun 26, 2023 19:55 MYT
Jun 26, 2023 19:55 MYT
KUALA LUMPUR : Golongan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tidak seharusnya terkecuali dalam memastikan produk keluaran mereka untuk menembusi pasaran antarabangsa.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, industri eksport negara tidak hanya tertumpu kepada perniagaan mega sebaliknya PKS juga mampu untuk menjadi sebahagian daripada penyumbang ekonomi negara.
“Dari segi perdagangan eksport itu amat penting dan peniaga-peniaga kecil sepatutnya bersama-sama dengan peniaga besar. Kadang-kadang kita lihat eksport ini hanya untuk industri yang besar tetapi kita juga ingin promosikan PKS kita terutamanya PKS mikro.
“Mereka perlu ambil kesempatan ini untuk gunakan fasiliti-fasiliti yang disediakan kerajaan terutamanya untuk eksport kepada negara luar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir merasmikan pelancaran Glowbox sempena Hari Usahawan Negara 2023 pada Isnin.
Glowbox merupakan salah satu teknik pemasaran produk-produk usahawan yang akan dipamerkan menerusi beg penghantar makanan.
Tambah Zafrul, setiap kementerian mempunyai peranan tersendiri dalam memastikan hasrat itu berjaya direalisasikan.
“MITI akan memberi fokus dalam memastikan industri-industri kita terutamanya PKS dapat peluang untuk pasarkan produk mereka ke luar negara.
“Apa yang penting kita bekerjasama dengan semua agensi kerajaan dan kita sebagai kerajaan kita perlu ada koordinasi yang baik supaya usahawan-usahawan kita dapat manfaat yang kita gerakkan,” katanya lagi.