Usahawan perlu kuasai teknologi baharu, pendigitalan - PM
Irwan Muhammad Zain
Mac 26, 2022 22:12 MYT
Mac 26, 2022 22:12 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru usahawan agar menguasai pelbagai teknologi baharu khususnya pendigitalan bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam arus perdana.
Menurut Ismail Sabri, segenap rangkaian ekonomi kini berdepan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) yang membawa pelbagai teknologi baharu.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan menyedari perkembangan sedemikian dan mempergiatkan persediaan rapi termasuk MyDIGITAL.
"MyDIGITAL adalah satu inisiatif yang mencerminkan aspirasi kerajaan mentransformasikan Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi, berpacukan pendigitalan dan sebagai peneraju serantau dalam ekonomi digital.
"Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan Dasar 4IR menggariskan usaha serta inisiatif dalam mencapai aspirasi MyDIGITAL," katanya ketika berucap merasmikann Hari Usahawan Negara (HUN) 2022, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada Sabtu.
Beliau juga berharap usahawan menguasai teknologi baharu ini, khususnya pendigitalan bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam dunia arus yang sedang berkembang pesat.
Kata Perdana Menteri, pendigitalan juga dapat membantu produk-produk dari luar bandar menembusi pasaran yang lebih luas.