Usahawan mikro berpeluang sertai CAEXPO akan datang

Afiezy Azaman
September 20, 2019 05:46 MYT
Halim (dua kanan) menasihati usahawan PKS agar melihat kepada trend semasa pasaran dan menginovasikan produk supaya terus kekal relevan dan mampu bertahan lama dalam dunia perniagaan. - Astro AWANI
Perbadanan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan memberikan peluang kepada usahawan mikro untuk memasuki pameran Ekspo China ASEAN (CAEXPO) yang akan diadakan pada tahun-tahun seterusnya.
Bagaimanapun, menurut Pengerusi MATRADE Tan Sri Halim Mohammad, usahawan mikro perlu bermula di Malaysia dan meningkatkan perniagaan mereka ke tahap yang lebih tinggi.
“Pengeksport kita yang telah meningkat boleh membantu usahawan-usahawan muda untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka melalui cerita kejayaan mereka dan selok-belok perniagaan.
“Ini supaya usahawan mikro tidak akan tersalah jalan.
"Dan apabila mereka sudah bersedia, kita akan membawa mereka ke CAEXPO, namun mereka perlu mendapatkan bimbingan, dan itulah tugas kami di MATRADE,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Astaka Malaysia dan ‘City of Charm’ di CAEXPO 2019, di sini, pada Jumaat.
Halim turut menasihati usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk melihat kepada trend semasa pasaran dan menginovasikan produk supaya terus kekal relevan dan mampu bertahan lama dalam dunia perniagaan.
“Kita jangan buat kesilapan. Kaji dahulu bagaimana citarasa dan pasaran di China. Dapatkan rakan niaga di sini untuk melihat trend pasaran dan kegemaran masyarakat di sini (Nanning),” jelasnya.
Sementara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ignatius Darell Leiking turut menggesa PKS untuk sentiasa menginovasikan produk walaupun menjual produk yang sama dengan pesaing.
“Walaupun di CAEXPO 2019 ini banyak produk yang sama tetapi bungkusan serta rasanya berbeza. Perlu ada perbezaan supaya kita boleh jual dan bersaing.
“Kita tidak perlu serang produk lain, tetapi tunjukkan perbezaan produk kita ini lain dari yang lain dan teruskan berinovasi untuk menjadi sesuatu yang unik,” ujarnya.
#CAEXPO 2019 #China #Halim Mohammad #Ignatius Darell Leiking #Matrade #PKS #rakan niaga #relevan #trend semasa pasaran #usahawan mikro
;