Usahawan Mara berpeluang menembusi pasaran di Indonesia

Dania Zainuddin
Oktober 5, 2016 23:02 MYT
Menurut Rusnah, Usahawan perlu memulakan aktiviti-aktiviti yang menjurus kepada mendapatkan peluang pasaran.
Usahawan di bawah naungan Majlis Amanah Rakyat (Mara) kini berpeluang mengembangkan lagi perniagaan dan meluaskan pasaran eksport ke Indonesia.
Pengarah Mara Negeri Selangor Rusnah Yusoff berkata ia susulan kerjasama Mara dengan Kerajaan Bandar Bandung, Indonesia dalam membangunkan Little Bandung dan Halal Shoppe byMara baru-baru ini.
"Usahawan perlu memulakan aktiviti-aktiviti yang menjurus kepada mendapatkan peluang pasaran, peluang mengendalikan Halal Shoppe dan Little Bandung dan juga mengenal pasti produk-produk yang sesuai di Indonesia untuk dimasukkan ke pasaran Malaysia," kata Rusnah selepas majlis pelancaran 'Showcase Produk Usahawan Serumpun @ Outlet Little Bandung dan Halal Shoppe di Shah Alam pada Rabu.
Selepas pelancaran pertama outlet kali ini, Rusnah berkata terdapat tujuh lagi penggendali usahawan Malaysia yang akan memulakan Little Bandung dan Halal Shoppe di beberapa negeri, iaitu satu di Cameron Highlands Pahang, satu di Terengganu dan selebihnya di Selangor.
"Usahawan ini sudah berbincang dengan Malaysia Indonesia Corporate House (MICH) dan sedang menunggu masa yang sesuai untuk memulakan outlet ini,
"Ia adalah kedai runcit yang menempatkan produk IKS dari sektor makanan dan minuman, kosmetik, fesyen dan sebagainya," kata Rusnah.
Sementara itu, katanya di Bandung pula, kedai 'Halal Mart' telah dibangunkan bagi tujuan untuk membantu usahawan di Indonesia untuk menempatkan produk halal yang dihasilkan oleh usahawan Muslim.
"Di Malaysia, kita boleh mengambil kesempatan untuk memasuki pasaran menerusi Halal Mart, dengan mengenalpasti produk-produk yang sesuai untuk kita masuk ke pasaran Bandung,
"Halal Mart ini dijangka akan dilancarkan pada sekitar bulan November dan Disember tahun ini," kata Rusnah.
'Showcase' Produk Usahawan Serumpun @ Outlet Little Bandung dan Halal Shoppe yang dilancarkan hari ini adalah hasil usahasama antara MARA, Koperasi Anak Sains Mara (Asmara) dan Malaysia Indonesia Corporate House (MICH) Bandung.
Turut hadir di majlis, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi, Datuk Bandar Bandung, Ridwan Kamil, Datuk Bandar Chemahi, Atty Suharti Tochija, Ahli Pengurusan MARA serta para usahawan dari Indonesia.
Ridwan Kamil ketika ditemui berkata kerajaan memainkan peranan penting membantu pengusaha kecil dan sederhana PKS.
"Sebagai Datuk Bandar, kami memberikan banyak kemudahan untuk PKS. Perniagaan yang bernilai kurang dari RM5,000 tidak perlu permit. Kami juga bantu dari segi pemasaran.
"Oleh kerana perhubungan serumpun ini sangat baik, kami juga membuka kedai-kedai di Bandung di mana produk dari Malaysia boleh dijual di Bandung.
"Dengan kerjasama ini, saya harap ia akan meningkat ekonomi kami bersama dan hubungan kebudayaan dapat dikukuhkan," kata Ridwan.
Datuk Bandar itu juga berkata pasaran pengguna Indonesia dijangka akan mencecah 100 juta menjelang tahun 2030, dan usahawan Malaysia berpeluang menembusi pasaran di negara itu.
#bandung #Halal Shoppe #kerjasama #Little Bandung #MARA #pasaran eksport #usahawan
;