Usahawan desa perlu ceburi perniagaan atas talian - Ismail Sabri
Bernama
Oktober 21, 2017 21:33 MYT
Oktober 21, 2017 21:33 MYT
Usahawan desa digesa agar memanfaatkan perniagaan secara atas talian bagi memperoleh pasaran yang lebih luas termasuk di peringkat global.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata platform berkenaan mempunyai potensi yang amat besar dengan pelanggan digital domestik sahaja kini mencecah 16 juta orang.
"Saya tidak mahu usahawan desa kita ketinggalan. Hari ini kita lihat golongan muda tidak lagi berbelanja pergi ke premis perniagaan tetapi menggunakan online.
"Negara kita pula semakin hari semakin dipenuhi orang muda sudah tentu cara ini akan jadi penting," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Desa@Online sempena Karnival Usahawan Desa (KUD) di sini, pada Sabtu.
Beliau berkata perniagaan atas talian juga secara tidak langsung menyelesaikan masalah modal besar yang diperlukan untuk setiap peniaga memasarkan produk di luar negara.
"Maknanya mereka tak perlu ke luar negara pun, tanpa perlu menyertai pameran di luar negara produk mereka boleh jadi global, modal mereka cuma sebuah laptop dan tak perlukan pekerja yang ramai," katanya.
Terdahulu, Ismail Sabri menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara kementeriannya dengan Celcom Axiata Berhad, 11street dan Pos Malaysia bagi kerjasama strategik melibatkan Desa@Online.
Melalui MoU berkenaan, 11street akan menawarkan kemudahan dan kelengkapan latihan percuma kepada usahawan di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta kesemua produk mereka akan diniagakan melalui platform e-dagang, 11street di atas jenama 'online store' DesaMall.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata sejak KUD bermula Khamis lepas, sebanyak RM7,000 hasil jualan berjaya dicatatkan melalui platform itu dari hanya 150 peniaga yang berdaftar setakat ini.
Tambahnya, kementerian menyasarkan 1,000 usahawan desa akan mendaftar dengan platform berkenaan menjelang akhir tahun hadapan.
-- BERNAMA