Usahawan bumiputera sokong pelaksanaan TPPA
Pritha Manivannan
November 19, 2015 18:52 MYT
November 19, 2015 18:52 MYT
Ahli-ahli Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PPIPBM) menyokong pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang bakal dilaksanakan.
Menurut Presiden Nurammar Abu Bakar, majoriti menyokong pelaksanaan TPPA dengan syarat kepentingan usahawan Bumiputera dilindungi.
Ketika ini, tambah Penaung PPIPBM Datuk Seri Raja Nong Chik, faedah dan manfaat yang berupaya dibawa oleh TPPA kepada usahawan tidak jelas.
Oleh itu, kerajaan patut menjelaskan kelebihan TPPA bagi usahawan-usahawan dengan lebih terperinci.
"Kepentingan TPPA harus diberi fokus dan dibentangkan kepada masyarakat khusunya peniaga.
"Terdapat banyak kepentingan TPPA. Kalau tak negara lain tidak akan menyertai TPPA. Tapi kepentingan ini tidak diberi fokus. Kita tidak pasti tentang kepentingan TPPA. Kita tidak pasti apa yang bagusnya TPPA ini," kata Datuk Seri Raja Nong Chik.
Sementara itu, Nuramar berkata geran yang diperuntukkan di bawah program pengeksportan bagi PPIPBM sebanyak RM5 juta bagi tempoh tiga tahun tidak mencukupi.
Tambah beliau PPIPBM mengharapkan geran yang lebih tinggi tahun depan.
Hasil eksport bagi ahlinya yang menggunakan geran ini berjumlah RM700 juta dari 2012 hingga 2015.
PPIPBM mempunyai 1500 ahli di seluruh Malaysia dan pada 2014, 300 syarikat ahlinya terlibat dalam eksport.