Usaha tambah baik kewangan awam bantu kukuhkan pasaran saham
Bernama
November 3, 2013 14:13 MYT
November 3, 2013 14:13 MYT
Usaha kerajaan untuk menambah baik kewangan awam seperti yang dibayangkan dalam Bajet 2014 akan mengukuhkan lagi pasaran saham dan pasaran pertukaran asing, kata seorang penganalisis.
Naib Presiden Affin Investment Bank Dr Nazri Khan Adam Khan berkata peruntukan bajet mengukuhkan lagi komitmen kerajaan untuk menambah baik kewangan awam, yang kelaknya akan menyediakan sokongan kepada ekuiti Bursa Malaysia dan dagangan ringgit.
Dalam tempoh sederhana, keazaman bajet untuk meneruskan pembaharuan fiskal, terutamanya cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan pengurangan subsidi yang mana merupakan komitmen untuk membendung pembaziran dan rasuah di samping memberikan insentif fiskal untuk merangsang pelaburan swasta, akan diterima baik oleh pelabur, katanya.
"Kami mengulangi pandangan bulis kami bagi pasaran tempatan berdasar tiga perkara. Pertama, keadaan ekonomi makro AS dan Eropah yang bertambah baik sepatutnya membawa kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia yang lebih kukuh seawal suku pertama tahun depan.
"Keduanya, peralihan tumpuan kerajaan kepada disiplin fiskal dan pertumbuhan berimbang seharusnya dapat mencetuskan keyakinan pelabur yang lebih tinggi, meningkatkan aliran masuk dana dan merangsang FTSE Bursa Malaysia KLCI untuk melonjak ke paras 1,900 pada akhir 2014.
"Akhir sekali, pemulihan perlahan-lahan yang dilihat dalam komoditi global selepas mencecah paras paling rendah dalam tempoh beberapa bulan dan prospek positif 2014, yang mungkin menular kepada ekuiti Bursa Malaysia," kata Nazri Khan, yang juga Ketua Penyelidikan Runcit bank pelaburan itu kepada Bernama.
Pemulihan kukuh komoditi daripada paras rendah beberapa bulan sepatutnya memihak kepada saham sumber seperti minyak dan gas dan perladangan, katanya.