Usaha niaga Genting buka laluan lebih banyak pelaburan syarikat Malaysia di Jerman

Bernama
September 28, 2016 20:49 MYT
Datuk Seri Najib Tun Razak bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Minister President Erwin Sellering (tiga, kiri). - Gambar Bernama
Usaha niaga Genting Group di Mecklenburg-Vorpommern, Jerman, menerusi pengambilalihan tiga limbungan kapal membuka laluan kepada lebih banyak pelaburan oleh syarikat Malaysia di negeri ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Mecklenburg-Vorpommern, yang terletak kira-kira 200 kilometer dari ibu kota Berlin, adalah negeri keenam terbesar Jerman dari segi keluasan dengan bilangan penduduk yang paling sedikit.
Unit Genting, Genting Hong Kong Ltd, membeli tiga limbungan kapal di Mecklenburg-Vorpommern tahun lepas dengan harga RM1.04 bilion.
"Prospek pelaburan Malaysia dan memainkan peranan penting dalam pembangunan industri maritim adalah prospek paling menarik bagi negeri ini dan juga Malaysia," kata Najib dalam sidang media bersama dengan Minister President Erwin Sellering, di sini, hari ini.
Genting sejak itu menamakan semula limbungan kapal tersebut sebagai MV Werften dan akan menumpukan membina kapal persiaran besar baharu.
Dilaporan bahawa MV Werften akan menyerahkan empat kapal mewah Crystal River pada 2017, yang pertama daripada siri kapal layar ekspedisi Crystal Endeavour Class seberat 20,000 tan kasar pada 2018 dan yang pertama daripada siri kapal persiaran Star Cruises Global Class seberat 201,000 tan kasar menjelang 2020.
Najib, yang sedang dalam rangka lawatan tiga hari ke Jerman yang berakhir hari ini berkata, "pelaburan Genting akan membawa banyak peluang pekerjaan di sini, serta meningkatkan pelaburan."
Dilaporkan bahawa limbungan kapal itu akan menyediakan 3,000 pekerjaan tetap dan kira-kira 10,000 pekerjaan kontrak.
Perdana Menteri berkata usaha niaga itu juga memberi manfaat kepada Malaysia kerana Genting dapat memiliki kapal persiaran moden dan canggih yang akan meningkatkan keupayaan kumpulan tersebut mengembangkan bahagian pasarannya dalam perniagaan persiaran global -- antara perniagaan yang berkembang paling pantas di dunia hari ini.
"Kami juga membincangkan tentang sektor perubatan. Penyedia penjagaan kesihatan kedua terbesar di dunia milik Malaysia (kumpulan) dan kita boleh menggunakan (ini) sebagai asas bagi kita untuk juga menimbang bekerjasama dalam bidang perubatan dan bio-perubatan," katanya.
Sementara itu, Sellering berkata negeri itu bersedia untuk melihat kerjasama dalam sektor selain daripada industri maritim.
Kedua-dua pemimpin berbincang mengenai tenaga boleh baharu, pelancongan dan industri sawit Malaysia termasuk pembangunan lestarinya. - BERNAMA
#Erwin Sellering #Genting Group #Genting Hong Kong Ltd #Mecklenburg-Vorpommem #Najib Razak
;