Usaha bersepadu dalam setiap kerjasama kunci kejayaan Khazanah
Astro Awani
Jun 21, 2023 17:51 MYT
Jun 21, 2023 17:51 MYT
KUALA LUMPUR: Sejak sekian lama, Khazanah Nasional Berhad telah melangkah jauh dalam usaha mereka untuk mencipta impak dan memajukan negara.
Menurut Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir, usaha bersepadu dalam setiap kerjasama merupakan kunci kejayaan yang dicipta.
Amirul Feisal menjelaskan, kejayaan itu juga hasil dari pandangan konkrit tentang kesan yang ingin dilakukan serta penyelesaian kreatif yang mempunyai penghayatan mendalam terhadap konteks tempatan.
"Ramuan yang sama ini akan menjadi kunci untuk bergerak ke hadapan kerana kami akan terus mendahului dalam pelaburan berimpak.
"Sehubungan itu, sekali lagi, kami menjemput dan mengalu-alukan kerjasama dengan rakan kongsi baharu yang berkongsi visi kami untuk mencipta impak yang bermakna untuk Malaysia.
"Malah, idea pembinaan gabungan merujuk kepada matlamat AVPN untuk menyediakan platform untuk berhubung, memimpin dan belajar melalui kerjasama pelbagai sektor," katanya ketika menyampaikan ucaptama di The Hasanah Forum (THF) 2023 anjuran Yayasan Hasanah, sebuah yayasan di bawah Khazanah Nasional pada Rabu.
Bertemakan Fostering Justice-Based Philanthropy: Shifting the Narrative to Action, THF 2023 yang berlangsung selama tiga hari menghimpunkan pemimpin dan pengamal berpengaruh dari ekosistem impak sosial, termasuk organisasi masyarakat sivil, perusahaan sosial, syarikat, pembuat dasar, dan golongan akademik.
Tujuan forum ini adalah memangkin dialog yang berorientasikan tindakan dan memupuk kepimpinan pemikiran dalam landskap filantropi yang terus berkembang, demi menghasilkan impak sosial-ekonomi yang nyata bagi masyarakat.
Berlangsung seiring THF ialah Asia Venture Philanthropy Network, atau AVPN Global Conference 2023, persidangan pelaburan sosial terbesar di Asia.