Urus tadbir yang lebih baik jika GST diperkenalkan semula - Tengku Zafrul

Firdaus Azil
Jun 10, 2022 18:08 MYT
Tengku Zafrul berkata, jika dikira keperluan libat urus bersama rakyat dan penambahbaikan sistem, tidak mungkin GST dilaksanakan tahun ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan akan melakukan penambahbaikan dari pelbagai aspek sekiranya mempunyai hasrat untuk memperkenalkan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam Laporan Kewangan Rakyat ke-98 yang diterbitkan hari ini berkata, aspek tersebut termasuk kecekapan proses bayaran balik, meningkatkan tahap kemahiran pegawai kerajaan dan tahap pematuhan peniaga.
Selain itu, beliau berkata, turut akan diperbaiki ialah tadbir urus keseluruhan GST.
“Walaupun buat masa ini Malaysia mendapat manfaat dari peningkatan harga komoditi global, hasil berkaitan komoditi tidak mampan kerana bergantung kepada pergerakan harga pasaran global.
“Ianya tidak mampu menampung sepenuhnya peningkatan perbelanjaan yang diperlukan untuk kesejahteraan rakyat. Oleh yang demikian Kerajaan perlu meneroka sumber hasil yang lebih stabil dan lebih meluas seperti kepenggunaan,” katanya lagi.
Namun begitu, kata Tengku Zafrul lagi, sebelum kerajaan memperkenalkan apa jua cukai baharu, mereka perlu memastikan pemulihan ekonomi pasca krisis COVID-19 sudah mencapai landasan yang kukuh dan stabil.
Perkara itu, jelasnya lagi, selaras dengan apa yang dimaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa cadangan pengembalian GST masih lagi di peringkat kajian.
Tengku Zafrul berkata, sebarang sistem pencukaian baharu juga perlu diluluskan di Parlimen, dan jika diambil kira keperluan libat urus bersama rakyat, serta untuk menambahbaik sistem sedia ada, tidak mungkin GST akan dilaksanakan tahun ini.
#Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz #Menteri Kewangan #cukai barangan perkhidmatan #GST
;