UPM raih 9 pingat emas menerusi penghasilan inovasi di PECIPTA 2022
Dagang News
November 4, 2022 12:10 MYT
November 4, 2022 12:10 MYT
KUALA LUMPUR: Universiti Putra Malaysia (UPM) cemerlang dengan meraih 9 pingat emas dalam Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa (PECIPTA) 2022 yang berlangsung pada 2 hingga 3 November 2022 bertempat di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Kampus Bachok, Kelantan.
Pengarah Putra Science Park (PSP) UPM, Prof Ir Dr Kamarul Arifin Ahmad berkata, UPM berjaya mengekalkan sekali lagi kecemerlangannya dengan merekodkan kemenangan yang membanggakan.
“PSP UPM selaku Pusat Pemindahan Teknologi yang menguruskan harta intelek UPM kekal komited dalam membina jaringan bersama pemain industri dan komuniti bagi memastikan hasil penyelidikan negara dapat dikongsi bukan hanya di peringkat kebangsaan tetapi juga antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
UPM membariskan 20 penyertaan dengan 10 inovasi berjaya disenarai pendek ke pertandingan secara fizikal. Antara pemenang yang tersenarai sebagai penerima pingat emas adalah Pensyarah Fakulti Kejuruteraan UPM, Prof Ts Thariq Hameed Sultan Hameed Sultan; Pensyarah Fakulti Bioteknologi dan Biomolekul Sains UPM, Prof Ts Dr Hidayah Arifin; Penyelidik Institut Biosains UPM, Prof Madya Dr Ina Salwany Md Yasin dan Prof Madya Dr Nurulfiza Mat Isa.
Pemenang lain, termasuk Pensyarah Fakulti Rekabentuk dan Seni Bina UPM, Prof Madya Dr Nazlina Shaari; Pensyarah Fakulti Kejuruteraan, Prof Madya Dr Norhashila Hashim; Pensyarah Fakulti Pertanian, Ts Dr Norhayu Asib; Pensyarah Fakulti Sains UPM, ChM Dr Siti Efliza Ashari dan Pensyarah Fakulti Teknologi Sains Makanan UPM, Dr Ahmad Haniff Jaafar.
Mohamed Thariq menerusi inovasi 'Blade for Pineapple Leaf Fiber Extractor Machine' merupakan penghasilan inovasi mesin yang menjimatkan tempoh penghasilan fiber nenas, dan membantu meningkatkan kualiti yang tinggi.
Dengan penggunaan teknologi yang dihasilkan, ia mampu mengurangkan sisa tanaman nenas menjadi suatu inovasi baharu yang menggunakan konsep from 'waste to wealth'.
Selain itu, Hidayah pula menerusi inovasi 'Nanocellulose: A versatile Nanoadditive' merupakan yang pertama menghasilkan nanoselulosa yang menggunakan biojisim kelapa sawit dengan mutu keberkesanan yang efektif.
Ia sesuai digunakan sebagai bahan penambah dalam pelbagai industri seperti plastik, bahan komposit, makanan, kosmetik, serta farmaseutikal bagi meningkatkan ciri-ciri produk yang dihasilkan.
Sementara itu, PECIPTA 2022 yang bertemakan 'Innovation, Creativity, Technology, Entrepreneurship and Society' merupakan acara dwitahunan anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bertujuan untuk mengumpulkan barisan penyelidik dari pelbagai kategori penyertaan.
Penyertaan ini juga bagi meraikan inovasi hasil penyelidikan negara dari pelbagai kluster pengajian yang dipertandingkan serta menghimpunkan barisan pemain industri dan penyelidik untuk mengukuhkan jaringan industri dan menerokai hasil penyelidikan negara seiring dengan aspirasi Malaysia untuk melahirkan modal insan yang berdaya saing di peringkat global.
PECIPTA 2022 adalah penganjuran kali ke-11 dan UMK adalah sebagai tuan rumah pada tahun ini. Mod penyertaan dijalankan secara hibrid merangkumi penjurian dalam talian dan seterusnya inovasi yang disenarai pendek dipilih untuk bersaing secara fizikal di UMK, Kampus Bachok.
Ia menerima lebih 433 penyertaan pada kali ini yang terdiri dari pelbagai sektor korporat, sekolah, IPTA dan swasta. Lebih 80% inovasi yang dipertandingkan di PECIPTA 2022 kali ni telah bersedia untuk dikomersilkan kepada pihak industri. - DagangNews.com