UOB: Pasaran buruh Malaysia akan dapat momentum pada 2021 dan 2022
Bernama
Oktober 8, 2021 04:04 MYT
Oktober 8, 2021 04:04 MYT
KUALA LUMPUR: Pemulihan pasaran buruh Malaysia dijangka akan mendapat momentum lebih lanjut pada bulan-bulan terakhir tahun ini dan berterusan sehingga 2022 apabila lebih banyak perniagaan memulakan operasi dengan kapasiti yang lebih besar sejak pertengahan Ogos lepas.
Menurut United Overseas Bank Ltd (UOB), ekonomi negara telah beransur-ansur pulih dari kesan sekatan pergerakan sepenuhnya, selepas aktiviti ekonomi dan sosial dibuka semula pada pertengahan Ogos, dan manyaksikan peningkatan pengambilan pekerja sehingga kadar pengangguran turun kepada 4.6 peratus pada bulan berkenaan berbanding 4.8 peratus yang dicatatkan pada Julai lepas.
Bank tersebut telah mengubah anggaran kadar pengangguran akhir tahunnya kepada 4.2 peratus untuk 2021 daripada 4.5 peratus sebelumnya.
"Jumlah pengangguran menurun buat pertama kali sejak pengenalan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 pada pertengahan Mei 2021 dan yang paling banyak sejak Jun 2020," katanya dalam satu laporan yang bertajuk 'Global Economics and Markets Research' pada Jumaat.
Kadar penyertaan tenaga kerja juga mencerminkan peningkatan kepada 68.4 peratus pada Ogos berbanding 68.3 peratus pada bulan sebelumnya, disebabkan oleh pengambilan pekerja yang berterusan di sektor perkhidmatan serta pemulihan pekerjaan di sektor pembuatan dan pembinaan.
Bagaimanapun, sektor pertanian dan perlombongan termasuk pengkuarian masih mengurangkan pekerja.
Jumlah pekerja di luar tenaga buruh menurun untuk pertama kalinya dalam lima bulan sebanyak 0.4 peratus dari bulan ke bulan kepada 7.45 juta orang.
Sementara itu, dalam nota berasingan, MIDF Amanah Investment Bank Bhd mengekalkan unjuran kadar pengangguran Malaysia bagi 2021 kepada 4.5 peratus dan hanya menjangkakan pemulihan pada suku keempat 2021.
"Kami meramalkan pasaran kerja akan terus pulih dalam beberapa bulan lagi selepas aktiviti perniagaan tempatan dan permintaan tenaga kerja akan naik lebih jauh berikutan peningkatan prospek perbelanjaan domestik.
"Kelonggaran sekatan berikutan keadaan COVID-19 yang bertambah positif termasuk kemajuan dalam program vaksinasi akan memungkinkan mobiliti yang lebih besar dan oleh itu menyokong aktiviti perbelanjaan yang lebih tinggi menjelang suku keempat 2021 dengan larangan perjalanan antara negeri dijangka akan dihapuskan tidak lama lagi," katanya.
Bagaimanapun, pemulihan ini mungkin bersifat perlahan kerana data terkini mengenai pengganguran menokok kepada 5,415 pada September berbanding 4,326 yang disaksikan semasa Julai lepas dengan majoriti kehilangan kerja dalam dua bulan terakhir ini dicatatkan dalam sektor pembuatan, perdagangan borong dan runcit.
-- BERNAMA