UOB Malaysia perkenalkan aplikasi mudah alih untuk bantu PKS

Bernama
November 28, 2016 16:07 MYT
'UOB Business' yang dilancarkan pada 28 Sept itu menawarkan kemas kini langsung ke atas kadar pertukaran asing.
United Overseas Bank (Malaysia) Bhd telah memperkenalkan UOB Business, aplikasi mudah alih untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS), menguruskan pendedahan dan risiko mereka dengan berkesan.
UOB dalam satu kenyataan hari ini, berkata aplikasi mudah alih yang dilancarkan pada 28 Sept itu menawarkan kemas kini langsung ke atas kadar pertukaran asing (FX).
Ketua Perbankan Perniagaan Raymond Chui berkata aplikasi mudah alih ini diperkenalkan sebagai respons kepada peningkatan bilangan PKS di Malaysia yang mahu mendapatkan maklumat FX masa nyata.
"Memandangkan PKS Malaysia ada yang telah mengembangkan perniagaan mereka ke pasaran luar negara, berkemungkinan mereka akan berurusan dengan matawang yang berbeza setiap hari," katanya.
Chui berkata, aplikasi ini akan membolehkan pengguna mengakses laporan ekonomi UOB yang terbaharu, menerima berita secara "langsung" dan menjejaki perkembangan pasaran serta industri yang boleh menjejaskan perniagaan atau pelaburan mereka.
Aplikasi ini juga akan memberikan maklumat mengenai produk serta perkhidmatan UOB Malaysia, dan pengguna akan dapat menikmati penjimatan kos keperluan perniagaan melalui tawaran yang eksklusif. -- Bernama
#uob business #uob malaysia #uob malaysia app
;