Untung selepas cukai JCorp melonjak lebih 100 peratus kepada RM808 juta bagi tahun kewangan 2022
Bernama
Jun 7, 2023 08:00 MYT
Jun 7, 2023 08:00 MYT
KUALA LUMPUR: Keuntungan selepas cukai (PAT) yang direkodkan Johor Corporation Group (JCorp) bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2022 melonjak lebih 100 peratus kepada RM808 juta daripada RM379 juta yang dicatatkan pada tahun kewangan 2021.
Dalam kenyataan pada Selasa, JCorp menjelaskan, pertumbuhan cemerlang itu disokong oleh peningkatan perolehan kumpulan sebanyak 12 peratus iaitu melonjak kepada RM5.7 bilion, didorong prestasi kukuh yang dicapai merentas segmen perniagaannya.
Di peringkat syarikat, JCorp mencatatkan PAT tertinggi dalam sejarahnya pada tahun kewangan 2022 dengan jumlah RM701 juta.
JCorp memaklumkan dari segi prestasi segmen, perolehan segmen perniagaan tani mencecah RM1.85 bilion, menunjukkan kenaikan sebanyak 13 peratus pada tahun fiskal berbanding tahun kewangan 2021 yang didorong oleh harga minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit yang tinggi.
Segmen kesejahteraan dan penjagaan kesihatan juga meningkat ketara pada tahun kewangan 2022 dengan perolehan menokok 13 peratus daripada angka pada tahun sebelum ini, menurutnya.
"Peningkatan ketara aktiviti pesakit dalam dan pesakit luar, masing-masing meningkat sebanyak 50 peratus dan 19 peratus, menyumbang kepada kejayaan ini manakala perolehan pelancongan perubatan yang lebih baik turut berperanan penting dalam meningkatkan prestasi segmen ini.
"Segmen hartanah dan infrastruktur menunjukkan daya tahan yang luar biasa, mengukuhkan potensi pertumbuhannya melalui penjualan tanah perindustrian dan hartanah kediaman," tambahnya.
JCorp menjelaskan walau bagaimanapun segmen makanan dan restoran mencatatkan kerugian sebanyak RM31 juta, terutama disebabkan penstrukturan semula segmen yang berterusan untuk memperkemas operasi.
Presiden dan Ketua Eksekutif, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim berkata, beliau gembira dengan rancangan penciptaan semula JCorp 3.0 kumpulan itu, yang telah berakhir dengan kejayaan bagi tahun fiskal yang dinilai.
"Prestasi luar biasa kami untuk tahun kewangan 2022 telah didorong oleh pelan penstrukturan semula korporat yang sangat berjaya ditambah dengan usaha rasionalisasi aset dan penstrukturan semula kewangan kami (yang) juga (menghasilkan) kesan positif.
"Inisiatif asas ini telah mendorong agenda penciptaan nilai kami, merealisasikan kecekapan operasi dan memacu inovasi sekali gus meningkatkan kecekapan kami," katanya.
Syed Mohamed berkata, JCorp juga akan terus memberi tumpuan kepada pertimbangan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
"Sebenarnya, baru-baru ini kami membangunkan rangka kerja kemampanan dan menubuhkan lembaga jawatankuasa kemampanan selain menetapkan sasaran untuk mencapai sifar bersih pada 2050.
"Yang penting, kami berpandukan rangka kerja pengawasan iaitu hala tuju betul kami, yang menunjukkan laluan ke arah memastikan pulangan optimum untuk pemegang kepentingan kami," katanya.
-- BERNAMA