Untung sebelum cukai Maybank bagi suku ketiga naik kepada RM2.38 bilion
Bernama
November 26, 2015 15:50 MYT
November 26, 2015 15:50 MYT
Keuntungan sebelum cukai Kumpulan Maybank bagi suku ketiga yang berakhir pada 30 Sept, 2015 naik 7.1 peratus kepada RM2.38 bilion berbanding RM2.22 bilion yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lepas.
Perolehan meningkat kepada RM11.38 bilion berbanding RM8.93 bilion pada suku yang sama sebelumnya, demikian menurut bank berkenaan dalam satu kenyataan hari ini.
Bank itu berkata keuntungan sebelum cukai kumpulan bagi sembilan bulan tahun kewangan 2015 naik sebanyak 1.4 peratus kepada RM6.78 bilion daripada tahun lepas.
Keputusan berkenaan dipacu oleh pendapatan operasi bersih yang lebih tinggi serta pengurusan kos yang teliti dan pemampatan margin faedah bersih lebih rendah pada tiga mata asas dalam tempoh sembilan bulan.
Selain itu, kumpulan mendapat manfaat daripada keuntungan sekali daripada penjualan operasi Papua New Guinea yang selesai pada September 2015.
Pengerusi Maybank Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor berkata meskipun berdepan dengan cabaran dalam persekitaran operasi, yang diburukkan lagi oleh harga komodiri yang rendah dan ketidaktentuan tukaran asing pada suku ketiga, kumpulan kekal berdaya tahan berikutan francaisnya yang pelbagai.
"Kedudukan modal kami kekal kukuh yang menempatkan kami pada kedudukan utama antara bank setara.
"Disiplin dan tumpuan kami kepada rantau ASEAN merupakan pendorong utama yang membantu kami merebut peluang dalam persekitaran semasa dan menukarnya kepada nilai perniagaan yang membawa kami kepada pertumbuhan yang kukuh," katanya.
Sementara itu, Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Farid Alias berkata, usaha-usaha untuk terus mengekalkan prestasi kumpulan akan dibuat melalui pengurusan berkesan kunci kira-kira dan mudah tunai, pertumbuhan aset terpilih dan pengurusan proaktif kualiti aset.
"Memandangkan keadaan tidak menentu sekarang yang dijangka kekal pada tahun akan datang, kami akan juga menggandakan semula usaha kami untuk meningkatkan kecekapan operasi dan modal, serta memanfaatkan peluang pertumbuhan di seluruh rantau ini," katanya.
Sementara itu, operasi Maybank Malaysia terus menjadi fokus utama pendapatan kumpulan, menyumbang 66.9 peratus pendapatan operasi bersih bagi sembilan bulan.
Perniagaan perbankan Islam kumpulan mengekalkan trend prestasi yang kukuh, mencatatkan peningkatan 13.2 peratus dalam keuntungan sebelum cukai bagi sembilan bulan kepada RM1.23 bilion berdasarkan 21 peratus kenaikan dalam jumlah pendapatan kepada RM2.98 bilion daripada setahun yang lalu.
Etiqa Insurans & Takaful terus menjadi peneraju pasaran dalam perniagaan insurans am dan perniagaan takaful menguasai 13 peratus bahagian pasaran dan di kedudukan keempat dalam segmen Hayat/Keluarga (Perniagaan Baharu) dengan 9.8 peratus bahagian pasaran.
Operasi antarabangsa Maybank mencatatkan peningkatan 6.3 peratus dalam pendapatan operasi bersih kepada RM4.47 bilion bagi sembilan bulan, dibantu oleh kenaikan 25.8 peratus dalam pendapatan berasaskan dana bersih kepada RM3.86 bilion yang lebih daripada mengimbangi 46 peratus penurunan dalam pendapatan berasaskan fi bersih kepada RM618 juta.
Operasi Singapura mencatatkan peningkatan 3.2 peratus dalam pendapatan bersih bagi sembilan bulan walaupun dalam persekitaran ekonomi yang mencabar di republik itu manakala Maybank Indonesia menyaksikan keuntungan bersihnya bagi sembilan bulan melonjak 71 peratus kepada 592 bilion rupiah berbanding 347 bilion rupiah tahun lepas.
Maybank Philippines terus mencatatkan prestasi operasi kukuh dengan perolehan bagi sembilan bulan meningkat 21 peratus setelah pertumbuhan pinjaman naik, peningkatan dalam komisen dan keuntungan dagangan lebih tinggi membantu merangsang pendapatan faedah bersih dan bukan faedah.