Untung pracukai 2012 Maybank naik RM7.894 Bilion
Bernama
Februari 21, 2013 18:17 MYT
Februari 21, 2013 18:17 MYT
Malayan Banking Bhd (Maybank) mencatatkan untung pracukai yang lebih tinggi iaitu RM7.894 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2012 berbanding RM6.875 bilion pada 2011.
Perolehan bagi tahun lepas juga meningkat kepada RM27.532 bilion daripada RM23.741 bilion pada 2011.
Untung selepas cukai bagi tahun kewangan 2012 dicatatkan pada RM5.917 bilion daripada RM5.121 bilion pada tahun sebelumnya.
Bagi suku keempat tahun lepas, Maybank mencatatkan untung pracukai sebanyak RM1.949 bilion, dengan perolehan sebanyak RM7.027 bilion.
Pengerusi Maybank Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor berkata keputusan kumpulan didorong oleh pertumbuhan berterusan dari kebanyakan sektor perniagaan, disokong oleh sumbangan yang kukuh daripada operasi globalnya, merentasi 20 negara.
"Jumlah pendapatan operasi naik 12 peratus di sebalik ekonomi global yang mencabar dan kumpulan itu bersandar kepada kedudukan domestiknya yang kukuh, kepelbagaian keupayaannya dan jaringan serantaunya untuk membangunkan francais dan meneroka segmen pasaran baharu," katanya kepada satu taklimat media hari ini.
Megat Zaharuddin berkata pertumbuhan perolehan didorong peningkatan 14 peratus dalam pendapatan berasaskan yuran bersih dan 10.8 peratus peningkatan dalam pendapatan berasaskan dana bersih.
Pertumbuhan pinjaman kumpulan Maybank kekal pada paras dua digit, dengan peningkatan 12.2 peratus, selain pertumbuhan 12.9 peratus pada sekuriti pinjaman dan hutang.
Deposit kumpulan kasar naik 10.3 peratus kepada RM347.2 bilion, didahului oleh peningkatan 22.3 peratus di Indonesia, diikuti oleh Singapura dan Malaysia dengan peningkatan 12.7 peratus dan 8.5 peratus, setiap satu.
Bagi tahun kewangan 31 Dis, 2011, Maybank mengusulkan dividen akhir 36 sen sesaham, kurang 25 peratus selepas cukai.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata perolehan bersejarah institusi perbankan itu telah dicapai menerusi asas-asas yang kukuh yang telah dibangunkan sepanjang beberapa tahun lepas dan kehadiran yang kukuh serta kepelbagaian produknya di pasaran serantau.
"Maybank juga menjangka pertumbuhan ekonomi makro global untuk menstabilkan pada 2013, yang akan bertambah dengan keadaan ekonomi yang semakin pulih dalam pasaran utama kami. Ia dijangka mendorong momentum pendapatan Maybank Group untuk tahun itu," katanya.
Bank komersil terbesar Malaysia itu telah meletakkan sasaran agresif bagi tahun 2013, di antaranya mencapai 15 peratus pulangan pelaburan pada asa modal diperbesar dan 12 peratus pertumbuhan pinjaman kumpulan.
#Datuk Seri Abdul Wahid Omar
#kewangan
#Malayan Banking Bhd
#Maybank
#pracukai
#Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor