Untung bersih Tiong Nam Q3 susut 83.5%, persekitaran dijangka kekal mencabar

Dagang News
Februari 22, 2022 10:00 MYT
Untung bersih Tiong Nam Logistics Holdings Bhd bagi suku ketiga berakhir 31 Disember 2021 susut 83.5% kepada RM1.06 juta berbanding RM6.41 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. -Dagang News
KUALA LUMPUR: Untung bersih Tiong Nam Logistics Holdings Bhd bagi suku ketiga berakhir 31 Disember 2021 susut 83.5% kepada RM1.06 juta berbanding RM6.41 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Pendapatan bagi tempoh itu bagaimanapun meningkat 13.5% kepada RM180.73 juta daripada RM159.27 juta bagi tempoh sama 2020 didorong peningkatan hasil menerusi segmen perkhidmatan logistik dan gudang serta hartanah, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Hasil bagi perkhidmatan logistik dan gudang meningkat 13.3% kepada RM177.9 juta berbanding RM157 juta tahun lalu berikutan perolehan pelanggan logistik baharu dan langkah pengembangan perniagaan.
Segmen hartanah pula meningkat 195.6% kepada RM1.7 juta berbanding RM600,000 bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Untuk segmen hotel dan asrama pula merekodkan hasil mendatar pada RM1 juta berbanding tempoh sama 2020 sebanyak RM1.5 juta.
Bagi tempoh 9 bulan berakhir 31 Disember 2021, untung bersih kumpulan susut kepada RM2.86 juta daripada RM4.57 juta manakala pendapatan meningkat kepada RM513.02 juta daripada RM431.31 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
Menurut Tiong Nam, perubahan persekitaran ekonomi serantau dan global bagi tahun kewangan 2022 (FY22) dijangka terjejas akibat pandemik COVID-19.
Sehubungan itu, katanya, kumpulan dijangka terjejas dengan kelembapan yang berlaku.
"Bagaimanapun, kumpulan akan terus menyusun strategi untuk mengekalkan bahagian pasaran kami, memberi tumpuan kepada kecekapan operasi, kawalan kos, inovasi perkhidmatan untuk mengekalkan perniagaan logistik dan pergudangan terasnya dalam jangka panjang, dan yakin untuk mengekalkan keuntungan segmen ini.
"Tetapi, segmen pembangunan hartanah dan hotel dan asrama dijangka mengalami kerugian operasi pada FY22," jelasnya. - DagangNews.com
#Bursa Malaysia #Tiong Nam Logistics Holdings #perkhidmatan logistik dan gudang #untung bersih