Untung bersih Sime Darby Plantation jatuh 70 peratus
Najib Aroff
Februari 28, 2019 19:43 MYT
Februari 28, 2019 19:43 MYT
Untung bersih Sime Darby Plantation Berhad bagi suku kedua berakhir 31 Disember 2018 jatuh hampir 70 peratus kepada RM129 juta, berbanding RM429 juta pada tahun sebelumnya.
Kejatuhan itu disumbang kemerosotan dalam pendapatan akibat kejatuhan purata harga minyak sawit mentah dan minyak isirung.
Sime Darby Plantation berkata penurunan itu bagaimanapun diimbangi kembali melalui peningkatan Tandan Buah Segar (FFB) dan Kadar Perahan Minyak (OER), selain penambahbaikan pendapatan sektor hiliran.
Sehubungan itu, Sime Darby Plantation mengumumkan dividen akhir 1.7 sen sesaham dan akan dibayar 21 Mei ini.
Prestasi enam bulan pertama Tahun Kewangan 2018
Untung bersih bagi enam bulan pertama tahun kewangan 2018 turut jatuh 83.1 peratus kepada RM244 juta berbanding RM1.45 bilion.
Perbezaan besar itu sebahagian besar disebabkan untung bersih tahun sebelumnya banyak disumbang pendapatan yang tidak berulang, seperti penjualan tanah bernilai dan beberapa perkara lain melibatkan nilai RM749 juta.
Menurut syarikat itu, harga Minyak Sawit Mentah (CPO) untuk tempoh enam bulan turun 26 peratus kepada RM1,974 per tan metric berbanding RM2,672 per tan metrik.
“Bagi tempoh kewangan ini, syarikat terus berdepan persekitaran mencabar yang menjejaskan operasi syarikat.
“Disebalik peningkatan FFB dan OER, industry sawit terus menunjukkan kelemahan CPO. Ia disumbang ketegangan hubungan dagang China dan Amerika Syarikat (AS) dan sentiment negatif terhadap minyak sawit daripada negara Eropah,” kata Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Sime Darby Plantation Tan Sri Bakke Salleh.
Bakke bagaimanapun berkata industry sawit menunjukkan permulaan baik bagi 2019 selepas inventori sawit merudum akibat musim pengeluaran yang rendah sekaligus mampu mengawal CPO.
#CPO
#FFB
#Fresh Fruit Bunch
#harga minyak
#minyak sawit
#Sime Darby
#Sime Darby Plantation
#Sime Darby Plantation untung
#Tan Sri Bakke Salleh
#Tandan Sawit Segar